Skip to main content

Malaysia

SK AU Keramat cipta kejutan muncul juara pada penampilan sulung

Sumber: Astro AWANI
Kejayaan itu lebih bermakna apabila ia diraih pada penampilan sulung pasukan Eagles yang baru ditubuhkan tahun ini. - Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pasukan sorak SK AU Keramat (SKAUK) mencipta kejutan apabila muncul juara kategori Level 0 Medium Division 1 pada CJ National Cheerleading Competition 2026 yang berlangsung di Arena Sukan Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kejayaan itu lebih bermakna apabila diraih pada penampilan sulung pasukan Eagles yang baru ditubuhkan tahun ini, selain muncul sebagai satu-satunya sekolah kebangsaan menyertai kejohanan berkenaan yang menghimpunkan 83 pasukan dari 68 sekolah di seluruh negara.

 

Image
CJ NATIONAL CHEERLEADING COMPETITION 2026 🏆  Alhamdulillah, tahniah buat Team Eagles SK AU Keramat yang berjaya merangkul Johan dalam pertandingan yang melibatkan 85 buah sekolah, dan SK AU Keramat merupakan satu-satunya Sekolah Kebangsaan (SK) yang bertanding! _IG skaukeramat
Kejayaan itu lebih bermakna apabila ia diraih pada penampilan sulung pasukan Eagles yang baru ditubuhkan tahun ini. - Foto Instagram/SK AU Keramat

 

Pengasas Bersama CJ Sports Academy merangkap jurulatih pasukan SK AU Keramat, Kevin Lim Kien Fong, berkata kejayaan tersebut membuktikan murid sekolah kebangsaan juga mampu bersaing di peringkat kebangsaan dalam sukan cheerleading.

"Ini merupakan tahun pertama Eagles bertanding dan mereka bermula dari kosong. Perjalanan mereka untuk sampai ke pertandingan ini bukan mudah, tetapi mereka berjaya mengharunginya dengan penuh komitmen dan kesungguhan.

"Bagi mereka, pertandingan ini bukan sekadar mengenai kemenangan, tetapi peluang untuk menimba pengalaman, membina keyakinan diri dan berkembang bersama sebagai sebuah pasukan," katanya.

 

Image
[8:12 AM, 8/22/2026] Kak Nizam Awani: ini juga minta insert, Pengasas Bersama CJ Sports Academy merangkap jurulatih pasukan SK AU Keramat, Kevin Lim Kien Fong [8:12 AM, 8/22/2026] Kak Nizam Awani: credit CJ Sports Academy
Kevin berkata pertandingan ini bukan sekadar mengenai kemenangan, tetapi peluang untuk menimba pengalaman, membina keyakinan diri dan berkembang bersama sebagai sebuah pasukan. - Foto CJ Sports Academy

 

CJ National Cheerleading Competition 2026 yang dianjurkan CJ Sports Academy mendapat sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), selain pengiktirafan daripada Cheerleading Association and Register of Malaysia (CHARM).

Menurut Kevin, penyertaan SK AU Keramat wajar dijadikan contoh kepada lebih banyak sekolah kebangsaan untuk meneroka sukan tersebut sebagai medium pembangunan sahsiah murid.

"Saya rasa perkara ini memang menarik untuk diketengahkan kerana SKAUK merupakan satu-satunya sekolah kebangsaan yang menyertai pertandingan ini dan saya amat kagum dengan semangat serta komitmen yang ditunjukkan.

"Saya berharap penyertaan SKAUK dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak sekolah kebangsaan untuk melihat cheerleading sebagai platform yang mampu membina keyakinan diri, disiplin, kerja berpasukan dan kepimpinan dalam kalangan murid," katanya.

Beliau berkata cheerleading tidak seharusnya dilihat sebagai sukan yang hanya sesuai untuk sekolah tertentu atau sekolah yang mempunyai kemudahan lebih baik.

"Dengan latihan, disiplin serta sokongan guru, jurulatih dan ibu bapa, murid daripada sekolah kebangsaan juga mampu bersaing dan mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan," katanya.

Mengulas perancangan pasukan selepas ini, Kevin berkata Eagles akan terus menambah pengalaman pertandingan bagi meningkatkan prestasi dan kemahiran mereka.

"Mereka mahu terus memperbaiki diri dan mendapatkan lebih banyak pendedahan dalam pertandingan. Saya sangat bangga dengan komitmen yang ditunjukkan dan teruja untuk melihat sejauh mana mereka mampu melangkah pada masa depan," katanya.

Kejohanan yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu terus menjadi platform pembangunan bakat akar umbi dalam sukan cheerleading, selain memupuk nilai disiplin, kepimpinan, kerjasama berpasukan dan keyakinan diri dalam kalangan murid sekolah rendah.

 

 

Must Watch Video

Advertisement