KUALA TERENGGANU: Kontinjen Terengganu meletakkan sasaran 61 pingat emas dan menduduki kelompok tiga teratas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham berkata sebanyak 600 atlet, termasuk 358 lelaki dan 242 wanita akan beraksi dalam 35 acara termasuk pelayaran, berbasikal, bola tampar, pencak silat, judo, kabadi dan bola jaring.
Bersandarkan persiapan dan perancangan rapi sejak tahun lepas, beliau yakin sasaran yang ditetapkan itu mampu dicapai, sekali gus memperbaiki prestasi kontinjen Terengganu pada SUKMA 2024 di Sarawak.
“Pada temasya kali ini, kami meletakkan sasaran 61 emas, 42 perak dan 88 gangsa daripada 35 acara. Hanya dua acara yang kami tidak masuk bertanding, iaitu bola keranjang dan catur kerana prestasi atlet kurang memberangsangkan.
“Berdasarkan pencapaian pada temasya SUKMA sebelum ini, kami jangka dapat mengutip lebih banyak pingat dalam acara berbasikal, judo dan angkat berat yang menjadi lubuk emas buat kontinjen Terengganu,” katanya pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Terengganu sempena SUKMA 2026 di Wisma Darul Iman hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sukan, Pembangunan Belia dan Badan Bukan Kerajaan negeri Hishamuddin Abdul Karim.
Bagi menyemarakkan lagi semangat atlet, Mohd Azmi berkata kerajaan negeri menyediakan insentif lebih tinggi untuk atlet yang berjaya menyumbangkan pingat pada temasya sukan dwitahunan berkenaan.
Beliau berkata untuk pingat emas, ganjaran sebanyak RM3,500 disediakan, diikuti pingat perak RM2,500 dan pingat gangsa RM1,500.
Menurut Mohd Azmi, insentif sama juga akan diberikan kepada atlet Para SUKMA 2026 yang berlangsung dari 5 hingga 10 Sept ini.
“Sebagai tanda penghargaan atas usaha serta penat lelah atlet, kerajaan negeri menaikkan insentif sebanyak RM500 bagi setiap jenis pingat berbanding SUKMA lepas.
“Kami harap ganjaran ini dapat menjadi pembakar semangat kepada para atlet untuk beraksi sebaik mungkin bagi menaikkan kembali nama Terengganu sebagai kuasa sukan di Malaysia,” katanya.
Pada SUKMA di Sarawak, Terengganu menduduki tempat kelima di belakang kontinjen Pulau Pinang dengan kutipan 41 pingat emas, 36 pingat perak dan 47 pingat gangsa.
-- BERNAMA