SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) menuntut kemenangan percuma secara “walkover” selepas perlawanan pembukaan Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) yang sepatutnya berlangsung petang ini tidak dapat dilangsungkan.
Dalam kenyataan hari ini, pengurusan NSFC menjelaskan tuntutan itu dibuat susulan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang disifatkan amat mengecewakan kerana berlaku pada saat-saat akhir.
“Sebagai pasukan tuan rumah, segala persiapan penganjuran perlawanan dari segi logistik, fasiliti, pasukan perubatan dan keselamatan telah disiapkan sepenuhnya. Hal ini juga memberikan impak besar memandangkan segala persiapan rapi menelan kos pengurusan yang tinggi.
“Insiden ini amat mengecewakan ribuan peminat setia skuad Jang dan berdasarkan unjuran kelab, hal ini menjejaskan kira-kira 5,000 penyokong yang membeli tiket lebih awal selain mereka yang merancang membeli tiket terus di pekarangan stadium hari ini,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, NSFC memaklumkan sebarang urusan berkaitan tuntutan semula atau status tiket yang telah dibeli akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi kelab itu.
Dalam pada itu, NSFC memaklumkan skuad itu tetap memanfaatkan fasiliti disiapkan dengan mengadakan sesi latihan terbuka di stadium petang ini dan mengalu-alukan kehadiran penyokong untuk menyaksikan sesi latihan sebagai penghargaan atas sokongan berterusan terhadap pasukan.
NSFC turut memohon maaf kepada semua penyokong yang telah menyusun jadual dan perjalanan untuk hadir ke stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan.
MFL hari ini memaklumkan perlawanan Liga Super antara NSFC dan KL City yang dijadualkan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 5 petang ini tidak dapat dilangsungkan selepas hampir separuh pemain skuad warga kota itu disahkan dijangkiti influenza.
-- BERNAMA