Skip to main content

Sukan

Aruwin kutip pengalaman tidak ternilai di Milano Cortina 2026

https://www.instagram.com/p/DUu2vW9j_wo/?img_index=1
Di Pusat Ski Alpine Tofane, Aruwin menamatkan larian pertama di kedudukan ke-54 dengan 55.09 saat sebelum bangkit memperbaiki kedudukan dengan melonjak 10 anak tangga pada larian kedua dengan masa 59.73s. - Foto Instagram Aruwin

KUALA LUMPUR: Atlet ski alpine negara Aruwin Salehhuddin mencuri tumpuan apabila mengangkat reputasinya sebagai atlet terbaik Asia dalam acara slalom wanita di temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026 di Itali baru-baru ini.

Namun, di sebalik pencapaian membanggakan itu, beliau akur bahawa untuk benar-benar menembusi kelompok elit dunia, kepantasan semata-mata belum memadai.

Advertisement

Atlet berusia 22 tahun itu berkata penguasaan cerun pada penampilan akan datang termasuk edisi 2030 di Pergunungan Alps Perancis kelak, tentunya menuntut kekuatan mental yang lebih ampuh dan konsisten.

"Sudah tentunya saya perlu memperkukuh kekuatan mental. Keyakinan itu sudah meningkat sebelum acara giant slalom, tetapi saya perlu membawa momentum sama ke acara slalom dan ia tidak menjadi seperti yang saya harapkan," katanya kepada Bernama.

Di Pusat Ski Alpine Tofane, Aruwin menamatkan perlumbaan dengan catatan satu minit 54.82 saat (s) untuk menduduki tempat ke-44 daripada 53 pelumba yang berjaya menamatkan kedua-dua larian.

Aksinya memperlihatkan peningkatan ketara apabila menamatkan larian pertama di kedudukan ke-54 dengan 55.09 saat sebelum bangkit memperbaiki kedudukan dengan melonjak 10 anak tangga pada larian kedua dengan masa direkodkan 59.73s

Pencapaian itu menebus kekecewaannya apabila gagal menamatkan perlumbaan pada penampilan pertamanya di Beijing 2022.

Lebih membanggakan, pencapaian itu meletakkan Aruwin sebagai pemain ski kedua terbaik Asia dalam acara itu, di belakang Piera Hudson dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menduduki tempat ke-39 dengan catatan 1:49.67s.

Sebelum itu, Aruwin menempuh detik sukar apabila tidak berjaya menamatkan saingan giant slalom wanita di gelanggang sama, yang juga acara pertamanya pada edisi 2026.

"Saya berdepan detik cemas dan melakukan kesilapan dalam kedua-dua larian, namun berbangga kerana mampu bertahan dan terus berjuang hingga garisan penamat. Sudah tentu saya mengimpikan larian lebih kemas dan lebih pantas.

"Saya agak kecewa dengan prestasi ski selepas larian pertama, tetapi berjaya menamatkan larian kedua memberikan kelegaan besar dan saya gembira kerana mampu menduduki tempat ke-44 untuk Malaysia dalam acara slalom," katanya.

Bukan sahaja menguatkan mental, beliau kini menumpukan perhatian kepada penguasaan teknik lebih kompleks bagi menghadapi laluan yang semakin mencabar pada masa hadapan.

Aruwin turut berkongsi keterujaannya beraksi di Pusat Ski Alpine Tofane dan menyifatkan venue itu sebagai impian setiap pemain ski, walaupun keadaan salji menguji ketahanan fizikal dan mentalnya.

"Tofane memang cerun yang menyeronokkan untuk acara slalom, walaupun keadaan salji sedikit mencabar pada larian kedua.

"Saya rasa cerun ini benar-benar sempurna untuk acara giant slalom, walaupun saya hanya sempat menamatkan separuh jalan dan berharap dapat pergi lebih jauh," katanya.

Venue bersejarah itu yang pernah menjadi tuan rumah acara ski alpine pada edisi 1956, terkenal dengan laluan ski paling ikonik di dunia membabitkan laluan sepanjang 2,560 meter dengan penurunan sekitar 750 meter itu.

Temasya Milano Cortina 2026 yang bermula 6 Feb, telah menutup tirai pada 22 Feb lepas.

-- BERNAMA

Must Watch Video