Skip to main content

Sukan

‘Bawa saya ke mahkamah jika ada bukti’ – TMJ

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan bahawa baginda bersedia berdepan tindakan undang-undang sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mempunyai bukti kukuh mengaitkan baginda dengan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan negara._SINAR HARIAN
Tunku Mahkota Ismail. - Foto Sinar Harian

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan bahawa baginda bersedia berdepan tindakan undang-undang sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mempunyai bukti kukuh mengaitkan baginda dengan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan negara.

Baginda yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) memberikan reaksi tersebut bagi membalas hantaran seorang pengguna di laman media sosial X selepas keputusan terkini Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang menolak rayuan FAM serta tujuh pemain warisan.

Advertisement

"Setuju! Saya ada cadangan yang lebih baik. Beramai-ramai bawa saya ke mahkamah dengan apa sahaja bukti yang ada. Please," kata baginda.

Terdahulu pada Khamis, CAS membuat keputusan menolak rayuan yang dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara yang cuba mencabar hukuman yang dijatuhkan sebelum ini oleh FIFA.

Mereka didapati bersalah kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) yang berkaitan dengan kesalahan pemalsuan dokumen.

Keputusan CAS itu sekali gus menyaksikan hukuman denda sebanyak CHF350,000 (dianggarkan kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan oleh FIFA terhadap FAM dikekalkan sepenuhnya.

Dalam masa sama, panel CAS turut memutuskan bahawa tujuh pemain warisan terbabit kekal dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan.

Bagaimanapun, CAS meringankan hukuman apabila penggantungan berkenaan hanya terpakai untuk aksi perlawanan rasmi sahaja dan bukannya menghalang mereka daripada menyertai mana-mana aktiviti lain yang berkaitan dengan bola sepak. - Sinar Harian

 

Must Watch Video