HORSENS: Juara bertahan China bakal menentang finalis kali pertama Perancis dalam perlawanan akhir kejohanan badminton Piala Thomas selepas kedua-dua pasukan mencatatkan kemenangan straight set pada separuh akhir di sini pada Sabtu, lapor Xinhua, menjadikan final kali ini pertembungan antara kuasa tradisional dan pencabar baharu dari Eropah.
Berdepan Denmark pada separuh akhir, juara dunia dan pemain perseorangan nombor satu dunia Shi Yuqi menghadiahkan China permulaan yang sempurna dengan kemenangan dominan 21-16, 21-5 ke atas pemain nombor 3 dunia Anders Antonsen dalam masa 44 minit.
Advertisement
Shi, yang terlepas dua perlawanan kerana gastroenteritis akut, berkata beliau semakin sembuh.
"Terlepas dua perlawanan memberi saya masa untuk berehat, yang ternyata satu kelebihan. Apa yang benar-benar membantu saya ialah kekal fokus dan azam untuk meletakkan pasukan saya di hadapan 1-0," kata pemain berusia 30 tahun itu.
Dalam acara beregu, Liang Weikeng dan Wang Chang melebarkan kelebihan China dengan menewaskan Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen 21-18, 21-17 dalam masa 34 minit.
“Kami telah bersedia untuk perlawanan yang sukar menentang pemain tuan rumah, yang berpengalaman dan dibantu oleh sokongan padu di laman sendiri,” kata Wang.
"Kami merasai tekanan, terutamanya pada penghujung perlawanan pertama apabila kedudukannya sangat rapat.”
Pemain perseorangan nombor 7 dunia, Li Shifeng kemudian mengesahkan tempat ke final dengan mengatasi kejatuhan set kedua untuk menewaskan Magnus Johannesen 21-19, 18-21, 21-9 selepas 73 minit.
“Saya mahu bermain dengan lebih agresif, tetapi saya perlu bersabar dan mencipta mata satu demi satu,” kata Li.
Pada satu lagi persaingan separuh akhir, skuad muda Perancis yang diketuai bintang meningkat naik Alex Lanier dan Popov bersaudara menewaskan India 3-0 untuk mara ke final Piala Thomas buat julung kali dalam sejarah negara itu.
"Kami berada dalam pemikiran kompetitif sejak awal dan suasana pasukan sangat positif. Semua perlawanan telah berlangsung sangat sengit. Kami menghadapi beberapa detik sukar namun secara keseluruhan kami beraksi dengan baik," kata Christophe Jeanjean, pengurus pasukan Perancis.
Menjelang perlawanan akhir, beliau menekankan pendekatan mudah: "Pulihkan diri semula dengan baik, ikuti rutin, dan bersedia untuk melakukan yang terbaik. Ia akan menjadi perlawanan yang sengit.”
Pada Ahad pasukan China akan menentang Korea Selatan dalam perlawanan akhir Piala Uber sebelum penentuan akhir Piala Thomas pada sebelah malam.
-- BERNAMA-XINHUA