SANTA CLARA: Penguasaan pasaran cip kecerdasan buatan (AI) NVIDIA di China dilaporkan merosot kepada hampir sifar peratus, berbanding pegangan sekitar 66 peratus yang direkodkan pada 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA, Jensen Huang, mendedahkan kehilangan dominasi itu berpunca daripada sekatan eksport ke atas cip AI berprestasi tinggi yang dikenakan kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Advertisement
Beliau menyifatkan dasar berkenaan sebagai langkah yang “memakan diri”, kerana ia bukan sahaja gagal mengekang perkembangan AI China, malah mendorong negara itu meningkatkan pelaburan besar-besaran dalam pembangunan teknologi tempatan, lapor Amanz.
Susulan kekosongan yang ditinggalkan NVIDIA, syarikat teknologi China seperti Huawei, Cambricon, Moore Threads dan MetaX kini menerajui pasaran domestik menerusi pembangunan cip AI sendiri.
Malah, model AI terbaharu China, DeepSeek V4, dilaporkan telah dioptimumkan khusus untuk penggunaan pemecut AI keluaran Huawei, sekali gus mencerminkan kemampuan ekosistem tempatan yang semakin matang dan mengecilkan jurang teknologi dengan pesaing utama di AS.
Walaupun jualan rasmi NVIDIA ke China terhenti, cip AI berkuasa tinggi syarikat itu dilaporkan masih memasuki pasaran negara berkenaan melalui saluran tidak sah.
Pada Mac lalu, Jabatan Kehakiman AS mendakwa tiga individu yang mempunyai kaitan dengan Super Micro Computer Inc atas dakwaan membantu menyeludup pelayan mengandungi cip AI NVIDIA bernilai sekurang-kurangnya AS$2.5 bilion (kira-kira RM9.88 bilion) ke China.
Huang menegaskan bahawa menyerahkan pasaran sebesar China adalah langkah yang tidak munasabah dari sudut strategi jangka panjang NVIDIA, sambil memberi amaran bahawa perkembangan itu mencerminkan perubahan ketara dalam landskap geopolitik teknologi global, dengan China semakin menuju ke arah berdikari dalam sektor semikonduktor.