Skip to main content

Sukan

Francis Ngannou mahu buktikan dirinya masih "raja heavyweight” dunia MMA

francisngannou
Jaguh heavyweight sensasi, Francis Ngannou, bersedia kembali menggegarkan arena MMA hujung minggu ini dengan satu misi besar, iaitu mengingatkan dunia bahawa beliau masih antara petarung paling digeruni dalam sejarah sukan tempur. - Gambar fail/Instagram/@francisngannou

JAGUH heavyweight sensasi, Francis Ngannou, bersedia kembali menggegarkan arena MMA hujung minggu ini dengan satu misi besar, iaitu mengingatkan dunia bahawa beliau masih antara petarung paling digeruni dalam sejarah sukan tempur.

Bekas juara heavyweight UFC dan PFL itu dijadual berdepan petarung Brazil, Philipe Lins, dalam acara sulung MVP MMA yang akan berlangsung pagi esok (Ahad) waktu Malaysia.

Bagi Ngannou, pertarungan ini bukan sekadar soal kemenangan. Ia juga menjadi simbol kebangkitan semula selepas melalui antara episod paling sukar dalam hidupnya apabila kehilangan anak lelaki tercinta tahun lalu. Dalam beberapa siri wawancara terbaharu, Ngannou mengakui tragedi itu hampir membuatkannya meninggalkan gelanggang pertarungan buat selamanya.

Namun, bintang berusia 39 tahun yang diberi julukan nama  “The Predator” itu memilih untuk bangkit.

“Saya mahu tunjukkan semula siapa saya sebenarnya,” kata Ngannou ketika sesi media menjelang pertarungan. Beliau menegaskan bahawa setiap pertarungan mempunyai risiko tersendiri, lebih-lebih lagi apabila berdepan lawan yang turut mempunyai pengalaman dan kemampuan tinggi.

Nama Ngannou bukan asing dalam dunia MMA. Dilahirkan dalam kemiskinan di Cameroon, beliau pernah bekerja di lombong pasir ketika kecil sebelum berhijrah ke Perancis demi mengejar impian sebagai petinju profesional. Perjalanan hidupnya yang penuh kesukaran akhirnya membentuk salah satu kisah paling luar biasa dalam sejarah UFC.

Nama Francis Ngannou dan Jon Jones kembali menjadi perhatian peminat MMA dunia menjelang acara mega Ronda Rousey vs Gina Carano hujung minggu ini.

Ia bukan kerana kedua-duanya akan bertembung, tetapi kerana buat pertama kali selepas bertahun-tahun spekulasi, mereka bakal berada di arena yang sama dalam satu acara besar.

Jones diumumkan sebagai salah seorang penganalisis siaran rasmi untuk acara MVP MMA yang akan berlangsung di Intuit Dome, California dan disiarkan secara eksklusif menerusi Netflix.

Ngannou yang turut berada dalam kad utama menentang Philipe Lins mengakui beliau sendiri terkejut apabila mendapat tahu Jones akan terlibat dalam siaran tersebut.

“Memang menarik melihat Jon Jones berada dalam arena yang sama malam itu,” kata Ngannou ketika sesi media terbuka minggu ini. Beliau turut menyifatkan kehadiran Jones menambah aura eksklusif kepada acara berkenaan.

Bagi peminat MMA, situasi itu sekali lagi membangkitkan persoalan lama - apa sebenarnya terjadi kepada pertarungan blockbuster antara Ngannou dan Jones yang pernah dianggap antara pertarungan paling besar dalam sejarah heavyweight UFC?

Sekitar 2021 hingga 2023, dunia MMA berkali-kali dihangatkan dengan desakan supaya kedua-dua jaguh itu bertembung dalam perebutan status “petarung terbaik generasi moden”. Ketika itu, Ngannou memegang tali pinggang heavyweight UFC manakala Jones masih dianggap antara petarung paling lengkap dalam sejarah MMA.

Bagaimanapun, pertarungan tersebut tidak pernah menjadi realiti.

Konflik kontrak antara Ngannou dan UFC akhirnya menyebabkan petarung kelahiran Cameroon itu meninggalkan organisasi berkenaan pada 2023 sebelum menyertai PFL dan meneruskan karier tinju profesional. Jones pula akhirnya memenangi kejuaraan heavyweight UFC selepas menewaskan Ciryl Gane sebelum mempertahankan gelaran menentang Stipe Miocic.

Walaupun Jones dilaporkan sudah bersara daripada MMA profesional, ramai peminat masih percaya pertarungan menentang Ngannou kekal sebagai 'dream fight' atau pertarungan impian terbesar yang belum berlaku dalam era moden UFC.

Menariknya, hubungan antara kedua-dua petarung itu tidak pernah benar-benar bersifat permusuhan terbuka. Mereka beberapa kali dilihat saling menghormati dalam temu bual media walaupun masing-masing yakin mampu menang jika bertemu.

Acara Rousey vs Carano sendiri dijangka menjadi antara malam paling bersejarah dalam MMA moden kerana menghimpunkan ramai nama besar era UFC dan Strikeforce dalam satu pentas. Selain Ngannou dan Jones, acara itu turut menampilkan Nate Diaz, Mike Perry, Junior dos Santos dan beberapa lagi bekas bintang UFC.

Bagi Ngannou pula, pertarungan menentang Philipe Lins menjadi aksi MMA pertamanya sejak menumbangkan Renan Ferreira dalam debut PFL tahun lalu. Ia juga sebahagian daripada usaha beliau untuk kembali mengukuhkan status sebagai antara heavyweight paling berbahaya di dunia.

Walaupun peluang melihat Ngannou menentang Jones di dalam Octagon mungkin sangat tipis, kehadiran kedua-duanya di bawah satu bumbung sudah cukup untuk menghidupkan semula imaginasi peminat MMA seluruh dunia.


-- Artikel ini dihasilkan oleh Hilmi Ismail.

Must Watch Video