Skip to main content

Sukan

Hoe Yean letak Sukan Asia sebagai keutamaan, Glasgow jadi medan persiapan

51683839733_KhiewHoeYean.jpg
Perenang negara Khiew Hoe Yean berkata, fokus utama ketika ini adalah persiapan jangka panjang bagi menghadapi Sukan Asia dari 19 September hingga 4 Oktober ini. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perenang negara Khiew Hoe Yean  meletakkan sasaran utama untuk menyerlah pada Sukan Asia  2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, September ini, namun tetap bertekad mempamerkan aksi terbaik pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang berlangsung bulan ini.

Hoe Yean berkata meskipun Sukan Komanwel merupakan kejohanan penting buat dirinya dan skuad renang negara, fokus utama ketika ini adalah persiapan jangka panjang bagi menghadapi Sukan Asia dari 19 Sept hingga 4 Okt ini.

"Walaupun kami mahu mencatat keputusan terbaik di Sukan Komanwel, keutamaan tetap diberikan kepada persiapan menghadapi Sukan Asia," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, di sini hari ini..

Pemenang pingat emas Sukan SEA berusia 24 tahun itu bagaimanapun berkata beliau tetap mahu mencatat masa yang kompetitif di Glasgow, selain berusaha memperbaharui catatan peribadi terbaik.

Beliau berkata barisan perenang negara yang turut dibarisi Lim Yin Chuen, Arvin Shaun Singh Chahal dan Tan Khai Xin bukan sahaja akan beraksi dalam acara kepakaran masing-masing, malah turut menyertai beberapa acara lain sebagai sebahagian daripada persiapan serta penilaian prestasi.

Jadi, kami berharap dapat meraih sesuatu yang positif di sana," kata Hoe Yean yang dijadual beraksi dalam acara 800 meter (m) gaya bebas lelaki, 1,500m gaya bebas, 4x100m gaya bebas berganti-ganti dan 4x200m gaya bebas berganti-ganti.

Sukan Komanwel Glasgow 2026 dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos, membabitkan 10 jenis sukan termasuk olahraga, renang, berbasikal trek, boling padang, tinju, judo dan angkat berat, selain enam acara sukan para bersepadu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement