NASHVILLE: Pengurus baharu Liverpool, Andoni Iraola, memulakan tugasnya dengan langkah positif apabila membimbing pasukan itu menewaskan Sunderland 4-2 dalam aksi persahabatan pra-musim pada Sabtu.
Namun, kemenangan tersebut dicemari kecederaan yang dialami pertahanan berpengalaman, Joe Gomez.
Gomez terpaksa dikeluarkan seawal 10 minit pertama perlawanan selepas mengalami kecederaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada kem Liverpool menjelang musim baharu.
Liverpool bagaimanapun berjaya menguasai perlawanan menerusi jaringan Kieran Morrison, Dominik Szoboszlai, Federico Chiesa dan Lewis Koumas untuk memastikan kemenangan dalam perlawanan pertama di bawah kendalian Iraola.
Selepas perlawanan, Iraola mengakui masih banyak aspek perlu diperbaiki memandangkan pemain baru sahaja memulakan persiapan pra-musim.
Menurutnya, para pemain masih keletihan selepas menjalani latihan intensif dan belum mencapai tahap kecergasan terbaik, namun perlawanan itu memberikan gambaran awal mengenai perkara yang perlu dipertingkatkan sebelum musim bermula.
Beliau turut menyifatkan kecederaan Gomez sebagai berita paling mengecewakan susulan pasukan sebelum ini berjaya melalui sesi latihan tanpa kehilangan mana-mana pemain akibat kecederaan.
Dalam perkembangan lain, Iraola berkata bek tengah Jérémy Jacquet yang baru menyertai Liverpool dijangka diberikan lebih banyak masa untuk kembali mencapai tahap kecergasan penuh selepas pulih daripada kecederaan bahu yang menjejaskan musim lalu.
Menurutnya, pemain itu tidak akan diburu-buru untuk kembali beraksi dan berkemungkinan diturunkan pada penghujung siri jelajah pra-musim Liverpool di Amerika Syarikat.
Liverpool dijadualkan meneruskan beberapa lagi aksi persahabatan menentang Wrexham, Leeds United, AS Monaco dan Como sebelum memulakan kempen Liga Perdana Inggeris musim 2026/27 menentang Newcastle United pada 23 Ogos.