KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan wanita profesional, Goh Jin Wei dipertimbangkan untuk skuad Piala Uber Malaysia bagi mengukuh kekuatan dan daya saing pasukan.
Pengarah kejurulatihan perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenneth Jonassen berkata prestasi Jin Wei baru-baru ini terutamanya menerusi aksi pertarungannya yang mantap di Thailand Masters apabila menamatkan saingan di tempat kedua, menunjukkan bahawa prestasinya telah kembali ke tahap yang tinggi.
Advertisement
Beliau berkata pertimbangan itu juga berdasarkan pengalaman Jin Wei dalam pertandingan berpasukan sebelum ini termasuk penyertaannya dalam Piala Sudirman tahun lepas.
"Sudah tentunya saya mahukan pasukan yang seimbang dengan potensi mempunyai tiga perseorangan wanita pada tahap prestasi yang hampir sama, yang agak unik."
"Dengan itu akan menjadikan pasukan sangat kompetitif, mungkin bukan menentang pasukan teratas, tetapi menentang semua pasukan," katanya ketika ditemui semalam.
Beliau juga berkata Jin Wei, yang kini berada di ranking ketiga pemain perseorangan wanita Malaysia, boleh memainkan peranan penting dalam mengukuhkan barisan pemain pasukan.
"Sebagai pemain perseorangan ketiga, dia boleh memainkan peranan yang menarik dan memberikan lebih banyak kekuatan kepada pasukan. Dia juga seorang pemain berpengalaman yang pernah bertanding dalam beberapa acara berpasukan sebelum ini," katanya.
Bagaimanapun, Jonassen berkata keputusan muktamad mengenai penyertaan Jin Wei bergantung kepada pemain itu sendiri.
Semalam, Jin Wei bersama pemain badminton profesional Lee Zii Jia dan jurulatihnya, Liew Darren mengadakan pertemuan selama sejam dengan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM Datuk Seri Lee Chong Wei mengenai penyertaan mereka dalam Pusingan Akhir Piala Thomas dan Piala Uber dari 24 April hingga 3 Mei.
-- BERNAMA