PUTRAJAYA: Penganjuran perlumbaan basikal berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) 2027 akan berlangsung dari 3 hingga 10 Okt dengan slot itu telah dimuktamadkan secara rasmi dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, pemilihan tarikh itu menyaksikan edisi ke-31 akan berlangsung antara dua temasya dwitahunan serantau yang dihoskan Malaysia, iaitu sejurus tamat Sukan SEA 2027 dari 18 hingga 29 Sept dan sebelum Sukan Para ASEAN 2027 bermula pada 17 hingga 23 Okt.
“Kita (LTdL) berada di pertengahan dan tahun hadapan memang sarat dengan acara sukan. Warga Majlis Sukan Negara (MSN) memang (akan) tidak menang tangan, tetapi ia promosi yang sangat baik untuk negara,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Mengenai potensi kehadiran lebih banyak pasukan berstatus WorldTeam serta barisan pelumba elit dunia bagi edisi 2027, beliau menjelaskan, faktor utama yang menentukan kemasukan pasukan tersebut bergantung sepenuhnya kepada kedudukan peruntukan kewangan.
Bagi merealisasikan matlamat itu, beliau berkata, langkah mencari dana penajaan akan digerakkan serta-merta tanpa menunggu saat akhir bagi memastikan kejadian terlepas pasukan gergasi tidak berulang.
“Apabila kita mempunyai kewangan lebih besar, kita ada lebih banyak pilihan dan boleh merancang dari pelbagai sudut. Usaha mencari penajaan perlu dimulakan awal sebaik sahaja laporan perlumbaan selesai.
“Jika diberi peluang untuk menyambung tugas, saya akan terus memulakan program penajaan supaya kita dapat membuat persiapan lebih awal,” katanya.
Menyentuh perancangan laluan 2027, Emir berkata, penganjur mempertimbangkan cadangan mengembalikan laluan perlumbaan ke Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu berdasarkan tradisi penggiliran bersama Pantai Barat.
“Walaupun tiada perjanjian wajib dalam LTdL, kita sentiasa bergilir antara Pantai Timur dan Pantai Barat sebelum ini. Kita juga mengambil kira peminat di Kelantan dan Terengganu yang pastinya menantikan giliran negeri mereka,” katanya.
Emir berkata, pemilihan laluan memerlukan penelitian mendalam merangkumi aspek logistik, jalan raya, ketersediaan penginapan dan lokasi penamat yang selamat, yang tidak boleh diputuskan hanya menerusi pemantauan di meja.
Selain itu, penganjur berhasrat mengekalkan zon pendakian Gunung Jerai dalam edisi seterusnya berdasarkan maklum balas positif pelumba yang menyukai tahap kesukaran tersebut, dengan syarat ia mendapat kelulusan daripada kementerian.
Mengenai potensi penganjuran di Sabah dan Sarawak, Emir berpandangan, langkah paling ideal adalah menganjurkan perlumbaan secara menyeluruh di Borneo agar perbelanjaan logistik dapat dioptimumkan dengan cekap selain menjamin keselamatan kru operasi.
Bagi memperkukuh elemen sukan pelancongan, Emir menyambut baik jika kerjasama strategik dengan Tourism Malaysia dapat dilaksanakan sekali lagi selain menyerahkan keputusan penglibatan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kepada kerajaan.
-- BERNAMA