KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia menetapkan sasaran lima pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, yang dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.
Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Glasgow 2026 Datuk Awalan Abdul Aziz berkata selain lima pingat emas, kontinjen negara turut menyasarkan dua pingat perak dan empat pingat gangsa.
Beliau berkata sasaran itu berdasarkan penilaian terhadap persiapan serta potensi atlet yang akan menggalas cabaran negara di Scotland.
“Kem latihan atlet yang akan bertanding di Glasgow telah berjalan dan kita telah membuat ketetapan mengenai sasaran kontinjen yang kita panggil sasaran 5-2-4, iaitu lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa pada kali ini.
“Daripada empat pingat emas yang hilang (di Birmingham 2022), sepatutnya sasaran kita hanya tinggal tiga emas. Namun, mungkin pingat itu boleh diperoleh menerusi acara lain, insya-Allah. Sebagai satu kontinjen dan satu pasukan, kita yakin untuk meletakkan sasaran tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini hari ini.
Bagaimanapun, Awalan enggan memperincikan sukan atau atlet yang diletakkan sasaran khusus untuk meraih emas sebaliknya mengakui angkat berat, berbasikal trek, boling padang, judo, “powerlifting” dan olahraga para antara sukan yang dikenal pasti berpotensi menyumbang pingat.
Beliau berkata setiap sukan mempunyai sasaran tersendiri, namun pencapaian keseluruhan perlu dilihat sebagai usaha berpasukan dan bukan diletakkan sepenuhnya kepada atlet atau acara tertentu.
Sebanyak 59 atlet termasuk atlet para negara akan mengambil bahagian dalam lapan daripada keseluruhan 10 sukan dipertandingkan di Glasgow 2026 antaranya renang, berbasikal trek, olahraga, angkat berat dan boling padang, selain enam sukan para yang dipertandingkan secara bersepadu.
Sebagai rekod, Malaysia meraih tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa pada edisi 2022 di Birmingham, England, namun empat daripada tujuh pingat emas itu disumbangkan menerusi sukan yang tidak lagi dipertandingkan kali ini.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari menyempurnakan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada jaguh lompat jauh para negara Datuk Abdul Latif Romly yang diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol, Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin.
-- BERNAMA