KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan kehadiran 200,000 pengunjung pada Perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 30 Okt hingga 1 Nov ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata sasaran itu ditetapkan berdasarkan keyakinan bahawa momentum positif susulan penganjuran Grand Prix Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain 2026 di SIC minggu lepas dapat diteruskan ke MotoGP.
Menurutnya sasaran itu lebih tinggi berbanding lebih 190,000 pengunjung yang direkodkan pada edisi sebelumnya.
“Kita optimis kehadiran pengunjung akan mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya pada sidang media MotoGP 2026 selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SIC dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), di sini hari ini.
Sebanyak 261,000 penonton hadir menyaksikan perlumbaan F1 Gulf Air Bahrain selama tiga hari, sekali gus mencatat rekod baharu kehadiran di SIC.
Mengulas penyertaan pelumba tempatan, beliau berharap pelumba muda negara dalam kategori Moto3, Hakim Danish Ramli, dapat mempamerkan aksi cemerlang di laman sendiri dengan sokongan padu peminat tanah air.
Beliau yakin pengetahuan Hakim Danish mengenai litar berkenaan serta sokongan rakyat Malaysia dapat membantunya memberikan persembahan terbaik.
Dalam pada itu, Mohammed Taufiq berkata KBS akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi membentuk jawatankuasa khas untuk menilai kebolehlaksanaan Malaysia menjadi lokasi perlumbaan F1 pada masa hadapan susulan pergolakan di Timur Tengah.
Beliau berkata penilaian itu akan mengambil kira fakta dan data, termasuk potensi pulangan ekonomi, sebelum sebarang keputusan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
“Jika penganjuran itu menguntungkan negara, kita akan berusaha ke arah itu. Namun, jika sebaliknya, perkara itu akan dimaklumkan kepada Jemaah Menteri untuk keputusan lanjut,” katanya.
-- BERNAMA