Skip to main content

Sukan

Mourinho kecam layanan terhadap Vinicius, dakwa wujud budaya buli di atas padang

Real Madrid's head coach Jose Mourinho gestures during a Spanish La Liga soccer match between Espanyol and Real Madrid in Barcelona, Spain, Saturday, Aug. 22, 2026. (AP Photo/Joan Monfort)
Mourinho memberi arahan dari tepi padang ketika perlawanan Liga Sepanyol (La Liga) menentang Espanyol di Barcelona, Sepanyol. - Foto AP
Advertisement

BARCELONA: Pengurus Real Madrid, Jose Mourinho, mengecam layanan yang diterima Vinicius Jr selepas mendakwa penyerang sayap Brazil itu terus menjadi sasaran kekasaran pemain lawan dan penyokong ketika kemenangan 2-1 ke atas Espanyol dalam aksi pembukaan LaLiga, awal pagi tadi.

Real Madrid memulakan era kedua Mourinho di Santiago Bernabeu dengan kemenangan dramatik hasil jaringan lewat Carlo Espi pada minit ke-90, namun perhatian turut tertumpu kepada beberapa insiden membabitkan Vinicius sepanjang perlawanan.

Pasukan pelawat berang seawal lima minit pertama apabila pemain Espanyol, Alex Calatrava, menjatuhkan Vinicius dari belakang sebelum dipercayai sekali lagi mengasari pemain itu ketika berada di atas padang.

Pemain Real Madrid menggesa pengadil melayangkan kad merah kepada Calatrava, namun tiada tindakan diambil.

Calatrava kemudiannya mencetak gol penyamaan Espanyol selepas Jude Bellingham meletakkan Real di hadapan.

Bagaimanapun, Carlo Espi muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada penghujung perlawanan untuk memastikan tiga mata penuh milik Real Madrid.

Selepas perlawanan, Mourinho berkata layanan terhadap Vinicius bukan lagi satu insiden terpencil, sebaliknya corak yang berulang daripada pasukan lawan.

“Vinicius bukanlah seorang yang sempurna, tetapi apa yang dilakukan terhadapnya sudah keterlaluan. Ia berlaku sejak minit pertama lagi. Corak yang sama berulang daripada satu lawan ke satu lawan yang lain,” katanya.

Menurut jurulatih dari Portugal itu, pemain lawan sering bertindak secara bergilir-gilir untuk mengasari Vinicius sehingga menyukarkan pengadil mengambil tindakan disiplin yang tegas.

“Seorang pemain mengasarinya, kemudian pemain lain pula melakukannya. Jika seorang pemain menerima kad kuning, pemain lain yang belum dilayangkan kad akan meneruskan tindakan yang sama,” katanya.

Mourinho turut menegaskan Vinicius perlu mengekalkan ketenangan dan mengawal emosi meskipun sering diprovokasi.

“Saya beritahu dia bahawa jika dia menjaringkan gol, dia perlu berhati-hati ketika meraikannya. Dia memerlukan kawalan emosi yang tinggi,” katanya.

Menurut Mourinho, situasi yang dihadapi Vinicius bercanggah dengan usaha masyarakat moden yang menentang budaya buli dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Kita hidup dalam era di mana masyarakat menentang buli, tetapi dengan Vini kita masih melihat unsur buli, sama ada daripada pemain lawan mahupun penyokong.

“Kami perlu mendidiknya dan menyediakan dirinya sebaik mungkin untuk menghadapi situasi sebegini,” tambahnya.

Kontroversi itu turut mengingatkan kepada insiden musim lalu ketika Mourinho membimbing Benfica, apabila Vinicius menjadi mangsa kata-kata berbaur diskriminasi oleh pemain Benfica, Gianluca Prestianni, dalam saingan Liga Juara-Juara menentang Real Madrid.

Susulan insiden tersebut, Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menggantung Prestianni selama enam perlawanan selepas didapati bersalah atas kelakuan diskriminasi yang dianggap berunsur homofobik.

Pada ketika itu, Mourinho menerima kritikan hebat selepas mempertahankan Prestianni dengan menyatakan Vinicius telah mencetuskan kemarahan penyokong melalui cara sambutan golnya, selain menegaskan Benfica bukan sebuah kelab yang bersifat perkauman.

 

Must Watch Video

Advertisement