Skip to main content

Sukan

Pasukan bola sepak wanita Afghanistan bersatu semula dalam buangan

Sumber: AP
Kini dikenali sebagai Afghan Women United, pasukan itu berharap dapat menggunakan pengiktirafan FIFA untuk melayakkan diri ke kejohanan antarabangsa seperti Piala Dunia dan Sukan Olimpik. - Foto AP
Advertisement

AUCKLAND: Selepas bertahun-tahun tidak dapat beraksi di tanah air sendiri berikutan sekatan Taliban terhadap sukan wanita, pasukan bola sepak wanita Afghanistan akhirnya bersatu semula di New Zealand, lebih 12,000 kilometer dari negara asal mereka, lapor BBC.

Skuad 23 pemain yang kini tinggal di beberapa negara termasuk Australia, United Kingdom dan Portugal berkumpul bagi menjalani kem latihan serta dua perlawanan persahabatan menentang Kepulauan Cook.

Ia merupakan pertemuan pertama mereka sejak FIFA pada April lalu mengiktiraf pasukan itu dan membuka laluan untuk mereka menyertai pertandingan rasmi pada masa depan.

Pasukan wanita Afghanistan yang ditubuhkan pada 2007 tidak lagi dapat beraksi selepas Taliban kembali berkuasa pada Ogos 2021 dan mengenakan pelbagai sekatan terhadap wanita, termasuk dalam bidang pendidikan dan sukan.

Ramai pemain kebangsaan ketika itu terpaksa melarikan diri dan memulakan kehidupan baharu di luar negara.

Kini dikenali sebagai Afghan Women United, pasukan itu berharap dapat menggunakan pengiktirafan FIFA untuk melayakkan diri ke kejohanan antarabangsa seperti Piala Dunia dan Sukan Olimpik.

Pemain tengah Fatima Haidari berkata mereka bukan sekadar bermain bola sepak, malah membawa suara wanita Afghanistan yang masih berdepan pelbagai sekatan di negara asal mereka.

Manozh Noori, yang kini menetap di Australia, memberitahu BBC bahawa beliau pernah bermain secara rahsia ketika membesar di Kabul kerana mendapat tentangan daripada ahli keluarga.

Selepas Taliban mengambil alih kuasa, beliau meninggalkan Afghanistan dan membina kehidupan baharu di Australia.

Seorang lagi pemain, Mursal Sadat, berkata bola sepak memberinya peluang untuk meneruskan kehidupan dan memperjuangkan hak wanita selepas meninggalkan Afghanistan.

Walaupun tewas 1-0 dan 3-0 kepada Kepulauan Cook dalam dua perlawanan persahabatan di Auckland, para pemain menyifatkan peluang kembali beraksi bersama sebagai kemenangan yang jauh lebih bermakna daripada keputusan di atas padang.

Bagi mereka, perhimpunan semula itu membuktikan bahawa walaupun hidup dalam buangan dan berjauhan daripada keluarga, pemain bola sepak wanita Afghanistan enggan mengalah atau dilupakan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement