Skip to main content

Sukan

Perarakan Arsenal: Puluhan diselamatkan dari tempat tinggi, 16 ditahan

Soccer Football - Premier League - Arsenal Victory Parade - London, Britain - May 31, 2026 Arsenal's William Saliba and teammates celebrate with the Premier League trophy during the victory parade REUTERS/Isabel Infantes
Polis Metropolitan menugaskan lebih 500 pegawai untuk mengawal perarakan itu. - Foto Reuters

LONDON: Kira-kira 75 individu diselamatkan dari bumbung dan lokasi tinggi lain, manakala 16 individu ditahan semasa perarakan kemenangan Arsenal sempena kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada Ahad, menurut perkhidmatan kecemasan, lapor PA Media/dpa.

Ribuan peminat memenuhi jalan sekitar Stadium Emirates di London bagi meraikan kejayaan pasukan itu menjulang kejuaraan.

Dalam suasana dipenuhi asap merah, penyokong memanjat pokok, bumbung dan lampu isyarat dengan harapan dapat melihat pemain kesayangan mereka ketika bas pasukan melalui kawasan itu.

Briged Bomba London (LFB) memaklumkan pihaknya menyelamatkan “kira-kira 75 orang” daripada insiden di tempat tinggi sepanjang acara itu dan meminta peminat supaya tidak memanjat bumbung ketika sambutan masih berlangsung.

LFB turut memaklumkan pihaknya bertindak balas terhadap kebakaran di sebuah hotel yang dipercayai berpunca daripada suar yang tersasar.

Penolong Pesuruhjaya LFB Pat Goulbourne berkata: “Nasib baik, kebakaran itu hanya menyebabkan kerosakan kecil pada bahagian luar bangunan.

“Bahan piroteknik juga dipercayai mencetuskan penggera kebakaran di beberapa lokasi lain di kawasan itu.

“Ketika penyokong pulang ke rumah, kami menggesa mereka supaya mengelakkan penggunaan bahan piroteknik, khususnya di stesen, serta menjauhkannya daripada bangunan dan bahan mudah terbakar lain.”

Goulbourne turut menyifatkan sambutan itu sebagai “pemandangan yang hebat” dan berkata ramai penyokong meraikan kejayaan kelab mereka dengan selamat.

Polis Metropolitan memaklumkan 16 tangkapan dibuat di kawasan sekitar perarakan Arsenal setakat 9 malam (2000 GMT) pada Ahad.

Pasukan itu berkata menerusi platform media sosial X bahawa tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan termasuk mabuk dan mengganggu ketenteraman awam, kesalahan dadah, serangan seksual serta menyerang petugas kecemasan.

Pegawai polis dipanggil ke lokasi kejadian tikaman di Hornsey Road sejurus selepas 8.30 malam dan bertindak balas bersama paramedik serta ambulans udara.

Seorang lelaki dibawa ke hospital dan keadaannya sedang dinilai, menurut pihak polis.

Polis Metropolitan menugaskan lebih 500 pegawai untuk mengawal perarakan itu.

Menjelang petang ke malam, jalan raya di utara London masih dipenuhi penyokong Arsenal.

Jalan-jalan dipenuhi tin minuman, botol, basikal elektrik yang tumbang serta pelbagai sisa sambutan.

Orang ramai terus bersorak dan menyanyi dengan penuh kegembiraan ketika bergerak pulang ke stesen kereta api bawah tanah Tube.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

Must Watch Video

Advertisement