Skip to main content

Sukan

Piala Dunia 2026: Perancis benam Senegal 3-1, Mbappe terus ukir nama catat sejarah

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Group I - France v Senegal - New York/New Jersey Stadium, East Rutherford, New Jersey, U.S. - June 16, 2026 France's Kylian Mbappe celebrates scoring their third goal with Dayot Upamecano, Jules Kounde, Rayan Cherki, William Saliba and Michael Olise REUTERS/Dylan Martinez
Mbappé meraikan jaringan gol ketiga pasukannya bersama Dayot Upamecano, Jules Koundé, Rayan Cherki, William Saliba dan Michael Olise ketika perlawanan Kumpulan I Piala Dunia FIFA antara Perancis dan Senegal di Stadium New York/New Jersey, East Rutherford, New Jersey, 16 Jun 2026. REUTERS

PERANCIS memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan apabila menewaskan Senegal 3-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan I di Stadium New York New Jersey.

Walaupun berdepan tentangan sengit daripada wakil Afrika itu, skuad kendalian Didier Deschamps berjaya bangkit pada separuh masa kedua untuk mengesahkan kemenangan hasil dua jaringan kapten pasukan, Kylian Mbappé.

Senegal sebenarnya tampil lebih berbahaya pada babak pertama dan hampir membuka tirai jaringan menerusi Nicolas Jackson, namun percubaannya sekadar menggegar tiang gol. Tidak lama kemudian, Ismaïla Sarr pula mensia-siakan peluang terbaik pasukannya apabila gagal menyempurnakan hantaran rendah Sadio Mané dari jarak dekat.

Perancis akhirnya memecah kebuntuan menerusi Mbappé selepas satu keputusan kontroversi membabitkan semakan VAR yang menyaksikan beliau tidak diberikan sepakan penalti. Bradley Barcola kemudian menggandakan kelebihan Les Bleus menerusi penyudah cip yang cukup menarik.

Senegal kembali merapatkan jurang pada masa kecederaan hasil jaringan pemain muda sensasi, Ibrahim Mbaye. Namun kegembiraan itu hanya bertahan seketika apabila Mbappé meledakkan gol kedua peribadinya tidak lama selepas itu untuk memastikan kemenangan 3-1 memihak kepada Perancis.

Kemenangan tersebut turut menyaksikan Mbappé mencipta sejarah baharu bola sepak Perancis. Dua gol yang dijaringkan menjadikan beliau penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis dengan 58 gol, mengatasi rekod 57 gol milik Olivier Giroud.

Bintang berusia 27 tahun itu turut muncul sebagai penjaring terbanyak Perancis dalam sejarah Piala Dunia dengan 14 gol, sekali gus memintas rekod 13 jaringan yang dipegang legenda negara itu, Just Fontaine. Mbappé kini hanya dua gol lagi untuk menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia milik Miroslav Klose yang mengumpul 16 gol.

Di sebalik kekalahan Senegal, Mbaye turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi pemain Afrika termuda yang pernah menjaringkan gol di Piala Dunia pada usia 18 tahun dan 143 hari.

Menariknya, kemenangan ini turut mengingatkan kembali detik pahit Perancis di Piala Dunia 2002, apabila mereka yang ketika itu merupakan juara bertahan tewas mengejut 0-1 kepada Senegal dalam aksi pembukaan sebelum tersingkir di peringkat kumpulan. Kali ini, Les Bleus memastikan sejarah tidak berulang.

Perancis akan meneruskan cabaran Kumpulan I menentang Iraq pada 22 Jun, manakala Senegal bakal berdepan Norway dalam usaha menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan seterusnya.

Must Watch Video

Advertisement