Skip to main content

Sukan

Piala Dunia Pickleball 2026 akan diadakan di Da Nang

61744790241_pickleball.jpg
Da Nang dianggap perintis dalam pembangunan pickleball di Vietnam dan merupakan lokasi pertama menubuhkan persekutuan pickleball peringkat bandar pada Mac 2025. - Gambar hiasan

DA NANG: Bandar tengah Da Nang dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia Pickleball 2026, menandakan penganjuran pertama kejohanan itu di Asia, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Pengumuman itu dibuat pada 24 April oleh Persekutuan Pickleball Da Nang dengan kerjasama rakan strategik. Ini merupakan edisi ketiga kejohanan global berkenaan dan menjadi satu pencapaian penting dalam usaha integrasi sukan Vietnam di pentas antarabangsa.

Advertisement

Kejohanan itu dijadual berlangsung dari 30 Ogos hingga 6 Sept di Pusat Sukan Tien Son, Kompleks Sukan Tuyen Son serta beberapa venue standard lain di seluruh bandar. Ia dijangka menarik kira-kira 4,000 atlet dari lebih 80 negara dan wilayah.

Naib Pengerusi Tetap Majlis Rakyat Perbandaran merangkap Pengerusi Persekutuan Pickleball Da Nang Tran Phuoc Son berkata penganjuran acara itu membuktikan keupayaan bandar berkenaan menganjurkan kejohanan sukan antarabangsa berskala besar selain mempromosikan imej bandar serta merangsang sektor pelancongan, perkhidmatan dan ekonomi sukan.

Da Nang dianggap perintis dalam pembangunan pickleball di Vietnam dan merupakan lokasi pertama menubuhkan persekutuan pickleball peringkat bandar pada Mac 2025. Bandar itu sebelum ini turut menganjurkan acara antarabangsa utama seperti Ironman dan Maraton Antarabangsa Da Nang, sekali gus menyediakan asas kukuh bagi kejohanan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Piala Dunia Pickleball Hercilio Cabieses berkata pertandingan itu akan menampilkan kategori kebangsaan dan individu merangkumi pelbagai kumpulan umur serta tahap kemahiran. Beliau berkata keadaan semula jadi yang sesuai, infrastruktur moden serta sokongan kukuh pihak berkuasa tempatan menjadikan Da Nang lokasi ideal untuk menganjurkan acara sukan bertaraf dunia.

Penganjur berjanji akan bekerjasama rapat dengan rakan domestik dan antarabangsa bagi memastikan kejohanan itu dianjurkan secara profesional, selamat dan berkesan, sekali gus menggalakkan semangat kesukanan serta pertukaran budaya.

Piala Dunia Pickleball 2026 dijangka memperkukuh kedudukan Vietnam di peta sukan global selain membantu menjadikan Da Nang sebagai hab serantau dan antarabangsa bagi sukan raket itu.

-- BERNAMA-VNA

Must Watch Video