Skip to main content

Sukan

Piala Dunia: Speedy Tigers raih mata pertama selepas seri 3-3 dengan Perancis

Malaysian Hockey Confederation
Malaysia akan melengkapkan saingan peringkat kumpulan dengan menentang tuan rumah Belgium pada awal pagi Rabu. - Facebook Malaysian Hockey Federation
Advertisement

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara masih belum meraih kemenangan sulung dalam kempen Piala Dunia Hoki 2026 selepas terikat 3-3 dengan Perancis dalam aksi Kumpulan B di Wavre, Belgium, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Brendon Carolan meraih mata pertama dalam saingan berkenaan, namun masih menghuni tangga tercorot Kumpulan B, di belakang Perancis dari segi perbezaan jaringan selepas tewas 1-5 kepada juara bertahan, Jerman, pada aksi pembukaan kelmarin.

Malaysia bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Shello Silverius, yang menyudahkan hantaran Mohamad Akhimullah Anuar Esook di dalam kawasan D sebelum menolak bola ke gawang Perancis.

Perancis yang mempamerkan permainan seimbang kemudian bangkit menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Victor Charlet pada minit ke-19.

Memasuki suku ketiga, Louis Haertelmeyer meletakkan Perancis di depan menerusi jaringan pada minit ke-37, namun Shello kembali menyamakan kedudukan lapan minit kemudian.

Mohamad Akhimullah kemudian memberikan kelebihan kepada Speedy Tigers menerusi jaringan padang pada minit ke-57, namun Perancis sekali lagi bangkit menyamakan kedudukan dua minit kemudian menerusi Timothee Clement.

Mohammad Fitri Saari hampir muncul wira negara apabila menjaringkan gol pada saat-saat akhir, namun jaringan itu dibatalkan selepas Mohamad Akhimullah didapati menggunakan bahagian belakang kayu hoki ketika menghasilkan gerakan sebelum gol berkenaan.

Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Malaysia akan melengkapkan saingan peringkat kumpulan dengan menentang tuan rumah Belgium pada awal pagi Rabu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement