Skip to main content

Sukan

Raphinha lanjut kontrak bersama Barcelona hingga 2030

Raphinha bergambar dengan jersi kelab selepas menandatangani kontrak lanjutan dengan Barcelona, di Camp Nou, Barcelona, Sepanyol, 5 Nov 2026. REUTERS
Raphinha bergambar dengan jersi kelab selepas menandatangani kontrak lanjutan dengan Barcelona, di Camp Nou, Barcelona, Sepanyol, 5 Nov 2026. REUTERS
Advertisement

MADRID: Penyerang Brazil, Raphinha menandatangani kontrak baharu bersama Barcelona yang menyaksikan beliau kekal bersama kelab Sepanyol itu sehingga 2030, lapor PA Media/dpa.

Walaupun kontrak pemain berusia 29 tahun itu masih berbaki dua tahun, namun juara La Liga berkenaan mengambil langkah untuk memastikan khidmat Raphinha terus kekal bersama kelab itu susulan permulaan musim yang cemerlang.

Pemain antarabangsa Brazil itu telah menjaringkan 19 gol dalam 13 penampilan sejak bermain di posisi penyerang utama pasukan.

Advertisement

Beliau turut menjaringkan dua gol ketika membantu Barcelona mencatat kemenangan 3-0 ke atas Aston Villa dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada Selasa.

"Saya berharap dapat kekal untuk beberapa tahun lagi dan terus beraksi selagi keadaan fizikal mengizinkan. Saya melakukan segala yang termampu untuk kelab ini," kata Raphinha di laman sesawang rasmi kelab itu selepas menandatangani kontrak baharu berkenaan.

Advertisement

Barcelona gagal mendapatkan khidmat Julian Alvarez dari Atletico Madrid pada penghujung musim lalu, menyebabkan pengurus Hansi Flick mencari penyelesaian dalam kalangan pemain sedia ada.

Raphinha sebelum ini lebih kerap beraksi di bahagian sayap bersama Barcelona, namun menunjukkan prestasi cemerlang sejak ditukar ke posisi penyerang.

"Saya sudah bertukar posisi dan sedang berusaha memberikan yang terbaik untuk semua pihak. Saya cuba menyesuaikan diri dengan apa sahaja yang diminta daripada saya. Saya menikmatinya dan ia menjadi lebih mudah dengan kualiti pemain yang kami miliki dalam pasukan ini,” katanya.

Menurut Raphinha, prestasinya ketika ini sangat baik walaupun masih belum mencapai tahap 100 peratus. Namun, penyokong tidak perlu bimbang kerana beliau sentiasa menjaga diri dan melakukan segala yang termampu untuk berada pada tahap terbaik.

"Masih ada satu trofi yang belum saya menangi, tetapi saya mahu memenangi sebanyak mungkin trofi bersama kelab ini dari sekarang hingga 2030," katanya.

Barcelona kini mendahului carta La Liga dengan 10 kemenangan daripada 11 perlawanan dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement