Ringkasan AI
- Zuhairie Ahmad Tarmizi memenangi pingat emas pertama negara di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 dalam acara ujian masa 1,000m C4-C5 lelaki.
- Zuhairie mencatat masa terpantas 1:05.361 saat di Velodrom Izu, Shizuoka, menewaskan pelumba Thailand dan Indonesia yang meraih perak dan gangsa.
- Beliau turut memecahkan rekod temasya pada peringkat kelayakan dengan catatan 1:04.882 saat, mengatasi rekod lama milik pelumba China.
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari menzahirkan rasa bangga atas kejayaan pelumba berbasikal trek Zuhairie Ahmad Tarmizi menghadiahkan pingat emas sulung negara pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, hari ini.
Zuhairie mengesahkan emas acara ujian masa 1,000 meter (m) C4-C5 (kecacatan fizikal) lelaki selepas merekodkan masa terpantas 1 minit 05.361 saat (s) pada aksi final di Velodrom Izu, Shizuoka.
“Wira kita bawa pulang pingat emas pertama dalam acara lelaki C4-5 1000m ujian masa di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.
“Terima kasih atas perjuangan dan semangat yang tidak pernah padam. Seluruh negara cukup bangga dengan anda,” kata Dr Mohammed Taufiq dalam satu hantaran di laman Instagram hari ini.
Pingat emas berkenaan merupakan pingat pertama negara pada temasya sukan empat tahun sekali itu.
Dr Mohammed Taufiq yang turut menyaksikan aksi pelumba negara itu, memuat naik gambar beliau meraikan kejayaan Zuhairie.
Pingat perak dimenangi pelumba Thailand Niwanti Jaturong dengan masa 1:07.206s manakala wakil Indonesia Sufyan Saori membawa pulang gangsa selepas merekodkan 1:08.166s.
Kejayaan hari ini juga menyaksikan Zuhairie menebus kekecewaan apabila meraih perak selepas tewas kepada Niwanti pada final Sukan Para ASEAN 2025 di Thailand, Januari lepas.
Terdahulu, atlet berusia 36 tahun itu turut meleburkan rekod temasya pada saingan peringkat kelayakan.
Pada pusingan berkenaan, beliau mencatat 1:04.882s untuk memadam rekod lama 1:07.311s milik pelumba China, Lai Shanzhang yang dilakukan di Hangzhou, China.
Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 yang membuka tirai semalam berlangsung hingga 24 Okt ini.
-- BERNAMA