Skip to main content

Sukan

TFC berkampung di Thailand hadapi perlawanan pra musim

Sumber: FB Terengganu FC
Mohd Nafuzi berkata skuad Penyu masih menunggu kehadiran beberapa pemain untuk melengkapkan skuad musim ini. - Facebook TFC
Advertisement

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) akan berkampung selama 10 hari di Bangkok, Thailand sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/2027.

Ketua jurulatih Mohd Nafuzi Mohd Zain berkata sepanjang tempoh itu, skuad Penyu akan berdepan empat perlawanan pra musim menentang kelab dari Vietnam, Hong Kong dan Thailand.

Pengendali berusia 48 tahun itu berkata perlawanan persahabatan tersebut penting untuk membina keserasian antara pemain, selain memantapkan aspek taktikal pasukan sebelum menghadapi perlawanan sulung Liga Super pada 22 Ogos depan.

Katanya, TFC akan berkampung selama 10 hari bermula 31 Julai ini di Bangkok untuk kem latihan serta perlawanan pra musim sebelum aksi sebenar pada 22 Ogos depan.

"Untuk perlawanan pembukaan kita akan bertemu pasukan Hanoi FC (Vietnam) pada 31 Julai, diikuti Taipo FC (Hong Kong) pada 2 Ogos dan Prime Bangkok FC (Thailand) pada 3 Ogos.

"Manakala aksi terakhir atau penutup perlawanan TFC bakal berdepan kelab Liga Divisyen 1 Thailand, iaitu PT Prachuap FC pada 6 Ogos. Kesemua perlawanan akan berlangsung di Yamaoka Hasanaka Academy," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Gong Badak, di sini petang semalam.

Dalam pada itu, Mohd Nafuzi yang juga bekas jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara berkata skuad Penyu masih menunggu kehadiran beberapa pemain untuk melengkapkan skuad musim ini.

Beliau berkata terdahulu TFC yang berpengkalan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) telah merekrut dua pemain naturalisasi, empat tonggak import dan tiga tempatan sebagai persediaan mengharungi aksi liga yang dijangka lebih sengit dan mencabar musim ini.

"Setakat ini kita dah ada 25 senarai pemain termasuk lama dan baharu. Kita masih menunggu beberapa pemain lagi dalam minggu ini untuk melengkap atau membina skuad penuh.

"Setakat ini persiapan berjalan lancar dan kita harap dapat TFC dapat memberi saingan sengit kepada pasukan lain, sekali gus memperbaiki kedudukan berbanding musim lalu," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement