BEREGU lelaki negara yang baharu mengangkat takhta juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menarik diri daripada menyertai Kejohanan Badminton Terbuka Jepun yang dijadual membuka tirainya di Osaka pada Selasa.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky yang mengesahkan perkara itu memaklumkan, Aaron mengalami kecederaan ringan di bahagian bahu dan tidak mahu mengambil risiko memburukkan lagi kecederaan itu.

“Aaron-Wooi Yik telah menarik diri daripada Terbuka Jepun. Aaron mengalami ketegangan otot di bahagian bahunya.

“Mereka baru sahaja menyertai Kejohanan Dunia dan saya tidak mahu Aaron bermain dan memburukkan lagi kecederaan.

"Tambahan pula, kedua-dua pemain terharu secara emosi dan mereka boleh menggunakan masa rehat untuk pulih,” kata Rexy.

Nama gandingan negara itu juga sudah dipadamkan dalam jadual pertandingan kejohanan bernilai RM3.3 juta itu.

BACA: Aaron-Wooi Yik perlu terus baiki kelemahan, kekal berkeyakinan tinggi - Kien Keat 

BACA: PM ucap tahniah Aaron-Wooi Yik juara pertama Malaysia di Kejohanan Badminton Dunia 


Semalam, Aaron-Wooi yik mencipta sejarah paling bermakna buat negara apabila menamatkan penantian gelaran dunia sulung Malaysia di pentas kejohanan dunia selepas menewaskan gandingan berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14.

Kejayaan di bumi Tokyo, Jepun itu juga secara tidak langsung menamatkan kemarau gelaran yang dialami mereka sejak mula digandingkan bersama pada 2017.

Sejak kejohanan dunia mula dipertandingkan pada 1977, sembilan wakil negara berjaya menjejakkan kaki ke pentas final masing-masing dalam acara perseorangan lelaki sebanyak lima kali dan empat kali dalam saingan beregu lelaki.

Bekas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei membuat penampilan di pentas final terbanyak iaitu empat kali pada edisi 2011, 2013, 2014 dan 2015 diikuti Wong Choong Hann (2003) selain Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang (1993), Soon Kit-Yap Kim Hock (1997) dan Kien Keat-Boon Heong pada 2010.