KUALA LUMPUR: Selepas melakar kejutan menumbangkan juara Sukan Olimpik Tokyo 2020, perjalanan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada Kejohanan Badminton Masters Indonesia berakhir dengan kekecewaan semalam selepas tewas di separuh akhir.

Gandingan negara yang meraih pingat gangsa di temasya Olimpik Tokyo itu yang juga pilihan kelima kejohanan di Bali itu, kecundang kepada pasangan bukan pilihan dari Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 18-21, 21-19, 17-21, dalam satu pertarungan sengit.

Kekalahan dalam tempoh 63 minit di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali itu, adalah kali kedua berturut-turut mereka tewas di tangan Hoki-Kobayashi selepas dikecewakan pada aksi kumpulan saingan Piala Thomas di Aarhus, Denmark, bulan lepas.

"Saya rasa yang mereka bermain dengan baik hari ini, walaupun tewas kami berpuashati dengan prestasi kami. Hanya ketik set penentuan, kami terikat 13 sama sebelum lawan mendahului sehingga kami hilang fokus. Saya rasa kami perlu lakukan perubahan dalam perkara ini," katanya kepada Media BWF selepas perlawanan.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir dengan bergaya selepas menewaskan pemenang pingat emas Olimpik Tokyo dari Taiwan Lee Yang-Wang Chi-Lin 21-13, 21-15 di peringkat suku akhir, pada Jumaat.

Pada masa sama, Aaron berkata meskipun mengimpikan untuk beraksi pada Kejohanan Badminton Final Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) di sana pada 1 hingga 5 Dis, fokus mereka ketika ini adalah terarah kepada kejohanan Terbuka Indonesia (23-28 Nov) yang turut diadakan di Bali.

"Kami benar-benar mahu memasuki Final Jelajah dunia, tetapi kami tidak mahu memberikan tekanan pada diri sendiri, kami berharap di terbuka Indonesia kami boleh bermain dengan baik," katanya.

Dalam kedudukan ranking Final Jelajah Dunia BWF terkini, Aaron-Wooi Yik berada di tempat ke-14 dengan mengumpul 17,400 mata, namun kedudukan itu dijangka berubah selepas kejohanan Indonesia Masters berakhir.

Hanya lapan terbaik akan layak beraksi di Final Jelajah Dunia BWF yang menawarkan hadiah wang kemenangan terkumpul berjumlah US$1.5 juta (kira-kira RM6.27 juta).

Sementara itu, cabaran Malaysia pada kejohanan berstatus Super 750 itu berakhir selepas pasangan profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, tewas kepada gandingan nombor satu dunia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dalam satu lagi aksi separuh akhir beregu lelaki.

Memulakan saingan dengan cemerlang selepas merakam kemenangan 21-18 pada set pertama, momentum itu gagal diteruskan pada set kedua dan ketiga yang menyaksikan mereka tumpas 17-21, 11-21 kepada pasangan Indonesia itu.

-- BERNAMA