KUALA LUMPUR: Musibah banjir melanda kediaman keluarga bukan penghalang kepada pemain tenis kerusi roda negara Abu Samah Borhan untuk merangkul gelaran pada Kejohanan Phuket Thailand 2021, Isnin lepas.

Pemain berusia 36 tahun itu berkata kejayaan itu berkat sokongan keluarga yang tidak putus-putus memberi motivasi kepadanya untuk tampil cemerlang pada kejohanan empat hari bermula 18 Dis itu biarpun diuji dengan dugaan melanda keluarganya di Kuala Selangor.

"Saya dapat tahu (banjir) itu pun semasa di Phuket. Sebelum ini saya sudah maklumkan jika perlawanan berlangsung saya tidak dapat berhubung selalu seperti di Malaysia. Jadi mereka faham dan beri ruang untuk saya fokus pada kejohanan.

"Alhamdulillah kejayaan yang saya dapat ini berkat daripada keluarga di Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi, berhasrat ingin bertemu dan membantu keluarganya yang terkesan akibat banjir susulan kawasan rumah mereka ditenggelami air sehingga paras bumbung kereta, selepas ini.

Aksi final acara perseorangan itu menyaksikan Abu Samah berjaya mengetepikan cabaran rakan sepasukan Mohamad Yusshazwan Yusuf 6-4, 7-6.

Kedua-dua pemain itu kemudian menampilkan aksi membanggakan apabila meraih tempat kedua bagi kategori beregu lelaki selepas tewas di tangan Worakit Daengchuen dan Banjob Suwan dari Thailand 1-6, 6-4, 11-13 pada perlawanan akhir.

Pemain kelahiran Perak itu optimis kejayaan di Thailand itu menjadi suntikan semangat untuk beliau meneruskan prestasi terbaik pada temasya Sukan Para Asia di Hangzhou, China tahun depan sekali gus memburu slot ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

-- BERNAMA