JARINGAN daripada Romain Saiss, Azzeddine Ounahi dan Youssef En Nesyri memastikan Maghribi merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Tanzania dalam aksi pembukaan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Bekas pertahanan Wolves, Saiss menjaringkan gol dalam separuh masa pertama namun, di sebalik dominasi dipamerkan, Maghribi dipaksa menunggu sehingga Tanzania beraksi dengan 10 pemain di separuh masa kedua untuk menewaskan mereka.

Walaupun Maghribi boleh berbangga dengan pemain seperti pertahanan Paris St Germain, Achraf Hakimi dan pemain tengah Manchester United, Sofyan Amrabat, Tanzania bermula dengan Tarryn Allarakhia dari Wealdstone di bahagian serangan.

Jurang kelas antara pasukan yang melangkah ke separuh akhir Piala Dunia dan lawan yang tidak pernah memenangi perlawanan di AFCON itu cukup jelas, namun Maghribi tidak dapat mencari jalan melepasi mereka sehingga minit ke-30.

Sepakan percuma Ziyech berjaya dinafikan penjaga gol Tanzania, Aishi Manula, namun Saiss pantas menampan masuk bola ke gawang untuk jaringan pertama.

Maghribi kemudian menggandakan kelebihan selepas lawan meneruskan permainan dengan 10 pemain dan ia digunakan sebaik mungkin oleh Ounahi untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Selang beberapa minit kemudian, giliran penyerang Sevilla, En Nesyri, bertindak sebagai penjaring sekali gus memastikan Atlas Lions bermula dengan kemenangan.