PASUKAN Afrika Selatan mengulangi sejarah 12 tahun lalu apabila sekali lagi menundukkan England 32-12 pada perlawanan akhir Piala Dunia Ragbi yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Yokohama, Jepun sebentar tadi.

Kejayaan bersejarah itu sekali gus menyaksikan skuad Springboks menjulang kejuaraan ketiga selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 2007.

Pasukan di bawah bimbingan jurulatih Rassie Erasmus itu bermula dengan garang apabila mengutip tiga mata pertama pada minit ke-10 menerusi penalti yang disempurnakan Handre Polllard.

Bagaimanapun, pasukan England cuba mengawal permainan apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-22 menerusi penalti oleh kaptennya, Owen Farrell.

Selang tiga minit kemudian Pollard sekali lagi menyumbang mata menerusi sepakan penalti, sebelum sembilan minit selepas itu Farrell sekali lagi menyamakan kedudukan, 6-6.

Tendangan cantik daripada Pollard pada minit ke-38 meletakkan skuad Afrika Selatan terus berada di hadapan sehingga babak pertama berakhir dengan kedudukan 12-6.

Bersambung babak kedua, Pollard terus menyumbang tiga mata kepada Afrika Selatan menerusi sepakan penalti pada minit ke-46.

Detik paling bermakna apabila Makazole Mapimpi meletakkan Afrika Selatan jauh di hadapan menerusi try pada minit ke-66, sebelum conversion disempurnakan oleh Pollard.

Ia menjadikan kedudukan ketika itu, Afrika Selatan, 25, England, 12.

Perlawanan berakhir dengan kedudukan 32-12.

Secara keseluruhan, Afrika Selatan melakukan dua try, dua conversion dan enam sepakan penalti.