Persatuan Bola Sepak Bahrain (BFA) mengambil keputusan untuk membatalkan aksi persahabatan antarabangsa 'Tier Satu' antara Bahrain dan Malaysia, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Khalifa Sports City, Isa Town, pada 21 Mac ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, pembatalan itu diputuskan BFA, susulan arahan terbaharu dikeluarkan kerajaan Bahrain pada Jumaat lepas, bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Katanya BFA terpaksa akur dengan arahan Kementerian Luar dan Kementerian Kesihatan negara berkenaan, yang mengetatkan perjalanan keluar dan masuk ke Bahrain, dan turut melibatkan individu dari negara berdekatan atau berhampiran dengan jangkitan COVID-19, termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Korea Selatan dan Iran.

Stuart menjelaskan FAM menerima sepucuk surat daripada Setiausaha Agung BFA, Ebrahim Saad Al Buainain hari ini, yang memohon maaf kerana terpaksa membatalkan aksi pemanas badan tersebut.

Sehubungan itu, Stuart berkata FAM akan mencari pelan alternatif bagi mempersiapkan skuad Harimau Malaya, untuk menghadapi dua aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 26 Mac ini, serta aksi berdepan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, selang lima hari kemudian (31 Mac).

"Perkembangan terkini mengenai persiapan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," jelasnya.

Stuart sebelum ini mengesahkan Bahrain yang merupakan juara Piala Negara Teluk 2019, bersetuju mengadakan aksi pemanas badan bertemu Malaysia di Dubai, pada awal Mac ini.

Malaysia kini menduduki tempat kedua Kumpulan G pusingan kelayakan itu, dengan kutipan sembilan mata selepas lima perlawanan, dan mereka berpeluang cerah ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China, sekiranya mencatat keputusan positif, dalam baki tiga perlawanan.

Perlawanan terakhir peringkat kumpulan adalah berdepan Thailand di Bangkok pada 9 Jun depan.

Kali terakhir Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia adalah pada edisi 2007, selaku tuan rumah bersama tiga negara ASEAN yang lain iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam.

-- BERNAMA