Peletakan jawatan Dollah Salleh sebagai jurulatih pasukan bola sepak negara tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Sambil menyifatkan ia keputusan tepat, namun jelasnya, Dollah tidak mempunyai pilihan lain selain meninggalkan kerusi panas itu.

"Saya ucapkan terima kasih kepada beliau (Dollah) atas perkhidmatannya membimbing pasukan negara selama ini. Namun, ia tidak menyelesaikan masalah bola sepak dalam negara kita," ujarnya.

Justeru, beliau akan memanggil pengurusan FAM bagi mendapatkan laporan yang lebih terperinci.

"Saya akan panggil FAM dalam masa terdekat untuk meneliti laporan yang diberikan dan melihat apa yang berlaku dalam FAM. Apa yang saya lihat sekarang prestasi bola sepak hari ini merudum dalam sejarah negara kita," katanya.

Katanya, beliau tidak akan teragak- agak untuk membuat keputusan drastik sekiranya itu pilihan yang terakhir.

Sebagai menteri, beliau mempunyai hak untuk menggantung FAM seperti mana yang telah dilaksanakan Indonesia.

"Kita ada pelbagai langkah yang boleh diambil, langkah drastik seperti Indonesia, tetapi saya tidak mahu ambil langkah itu.

"Sekiranya FAM masih tiada rancangan dan buat buat tak tahu, saya harus pertimbangkan langkah yang lebih drastik.

"Apa yang saya lihat FAM tidak meletakkan bola sepak sebagai prioriti.

"Saya hampir buat kesimpulan bahawa mereka yang berada di FAM tidak layak berada di situ," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Fit Malaysia Terengganu di Dataran Batu Burok, di sini hari ini.


Beliau juga turut meminta kepimpinan FAM memikirkan tindakan yang sewajarnya demi pembangunan bola sepak negara.

"Tepuk dada, tanya selera," ulasnya ringkas apabila ditanya sama ada beliau mahu pengurusan FAM meletak jawatan.

Kemelut bola sepak negara yang sedia hangat dengan pelbagai kontroversi, mencapai kemuncaknya selepas kekalahan 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam saingan kelayakan Piala Dunia peringkat Asia di Dubai pada Khamis.

Mengulas mengenai reaksi Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sutan Ibrahim, Khairy menghargai atas kesediaan TMJ untuk menaja jurulatih dari luar negara bagi membimbing pasukan negara.

Namun katanya, rakyat Malaysia perlu sedar dimana tahap kualiti pemain bola sepak negara.

"Dari dulu saya dah kata, tahap pemain kita takat itu sahaja.

"Saya beri contoh, kalau kereta lama kita beri pemandu F1 pandu pun, kualitinya sama, tak boleh pergi jauh pun, sama sahaja," katanya lagi.