KUALA LUMPUR: Atlet olahraga kebangsaan, Andre Anura Anuar yang akhirnya memenangi pingat emas lompat jauh Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, bakal memberi tumpuan lebih kepada acara lompat kijang selepas ini.

Atlet berusia 22 tahun dari Sabah itu, sebelum ini beraksi dalam kedua-dua acara lompatan tersebut di peringkat antarabangsa, namun kini mahu lebih terarah ke acara lompat kijang apabila berpeluang mewakili negara.

"Untuk acara lompat jauh kita masih ada Luqman Hakim Ramlan, jadi lebih baik saya fokus kepada lompat kijang dan beliau teruskan dengan lompat jauh," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Terdahulu, Andre Anura yang membuat penampilan ketiga di Sukma sejak edisi 2016 di Sarawak, melakukan lompatan sejauh 7.40m untuk meraih emas pertamanya dalam acara itu, walaupun ia tersasar sedikit berbanding rekod kebangsaan 8.02m miliknya ketika meraih perak Sukan SEA 2019 di Filipina.

Bagaimanapun, catatan hari ini lebih baik berbanding lompatan 7.24m yang dilakukannya di Sukan SEA Hanoi pada 15 Mei lepas untuk berpuas hati dengan kedudukan kelima, sebelum bangkit meraih emas lompat kijang dengan catatan peribadi terbaik 16.51m, dua hari selepas itu.

Muhammad Shahrizal Nasharuddin Isham (7.25m) dari Terengganu dan Muhammad Sunik Muslimin (7.24m) dari Sabah masing-masing membawa pulang perak dan gangsa pada hari ini.

Andre Anura akan mempertahankan pingat emas lompat kijang yang dimenangi di Sukma Perak, pada hari esok.

Beliau berkata Sukma merupakan pertandingan terakhirnya bagi tahun ini, sebelum beliau memulakan persediaan untuk beraksi dalam beberapa temasya utama tahun depan termasuk Sukan SEA Kemboja 2023 dan Sukan Asia Hangzhou 2022.

Sementara itu, atlet Pulau Pinang Sriven Tan muncul juara acara 10,000m jalan kaki lelaki dengan catatan masa 48 minit dan 15.460 saat pada pagi tadi.

Pingat perak dan gangsa menjadi milik Fakhrul Razi Jailani (48:21.080s) dari Melaka dan M. Sivanesh (50:42.840s) dari Negeri Sembilan.

-- BERNAMA