ARSENAL masih bersemangat memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) biarpun selepas kekalahan kepada Manchester City, kata pengendali Mikel Arteta.

Malah tegas Arteta, pemain kelab utara London itu perlu meningkatkan prestasi dengan melakar kemenangan ke atas Chelsea.

“Anda perlu menyedari masih ada kerja yang perlu dilakukan. Kami perlu merendah diri, mengenali kelemahan dan berusaha untuk menjadi lebih baik dalam setiap perlawanan.

“Tetapi kami juga mempunyai banyak kekuatan dan banyak perkara yang kami lakukan dengan baik sejak 10 bulan lalu.

“Sekarang ia (perlumbaan gelaran) bukan di tangan kami lagi. Apa yang ada di tangan kami adalah untuk mencuba memenangi baki perlawanan, selebihnya diserahkan kepada City.

“Saya tidak perlu mengambil mood pemain, kerana semangat mereka masih tetap menyala berdepan Chelsea. Amat sukar untuk meramalkan apa yang mereka (Chelsea) akan lakukan tetapi kami perlu bersedia untuk memenangi perlawanan," kata pengendali dari Sepanyol itu.

Arsenal sebelum itu melepaskan cengkaman tangga teratas selepas empat perlawanan tanpa kemenangan, termasuk kekalahan 1-4 kepada City dan seri dengan Liverpool, West Ham United dan Southampton.

Arsenal kini berada di kedudukan kedua dengan 75 mata, satu di belakang pendahulu City yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

The Gunners boleh kembali ke puncak liga buat seketika dengan kemenangan ke atas Chelsea, yang berada di tangga ke-12 selepas mengharungi kempen yang mengecewakan. - Sinar Harian