MENERUSI siri iPhone 15, Apple mengeluarkan aksesori yang diperbuat daripada bahan baharu FineWoven.

FineWoven menggantikan aksesori kulit yang dilihat sebagai tidak lestari dan oleh itu tidak selari dengan sasaran syarikat yang ingin mengurangkan impak ke atas alam sekitar.

Tetapi kini muncul laporan Apple menghentikan pengeluaran aksesori FineWoven kerana isu kualiti.

Ciapan yang dihantar oleh @Kosutami_ito yang beberapa kali berjaya meramalkan produk Apple dengan tepat mendakwa tindak diambil Apple kerana FineWoven tidak cukup tahan lasak.

Sejak dari awal aksesori ditawarkan, muncul laporan permukaan kerangka dengan pantas kelihatan kotor dan kusam.

Beberapa pempengaruh dalam arena teknologi mengeluh ada kerangka FineWoven yang rosak selepas sebulan digunakan.

FineWoven dihasilkan menggunakan bahan yang 65% telah dikitar semula. Aksesori yang dihasilkan dengan bahan ini ialah kerangka iPhone, tali Apple Watch, pemegang AirTag dan dompet MagSafe.

Apple dilaporkan sedang mencari ganti kepada FineWoven untuk aksesori-aksesori mereka yang akan dilancarkan kelak. -Amanz