ARSENAL 3 MAN UTD 1

Harapan Manchester United untuk layak ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan hampir tertutup rapat apabila tewas 1-3 kepada pencabar di tangga keempat teratas, Arsenal, dalam aksi menarik Liga Perdana Inggeris (EPL).

United bertandang ke Emirates, malam tadi, dengan harapan dapat memadam episod ngeri tumpas 0-4 di tangan Liverpool dan biarpun persembahan mereka bertambah baik secara umumnya, bahagian pertahanan mereka pula terus goyah.

Nuno Tavares meletakkan Arsenal di hadapan seawal minit ketiga dan sepakan penalti Bukayo Saka menjadikan kedudukan 2-0 sejurus sebelum Cristiano Ronaldo menjaringkan gol EPL ke-100 peribadinya dalam kerancakan separuh masa pertama.

Jaringan pertama terhasil berikutan kegagalan United menyusun semula rentak awal yang menyaksikan Saka memiliki kesempatan untuk menguji David de Gea selepas bola melepasi jangkauan dua pemain pertahanan sebelum terpaan Tavares untuk Arsenal mendahului pada minit ke-3.

Selepas gol Eddie Nketiah dibatalkan kerana ofsaid, kekasaran Alex Telles terhadap Saka mengundang padah apabila dikesan melalui video bantuan pengadil (VAR) dan pemain sayap itu menyempurnakan sepakan dari jarak 12 ela berkenaan pada minit ke-32.

Tersentak selepas ketinggalan 0-2, tidak sampai dua minit kemudian United pantas mengecilkan jurang menerusi kelicikan Ronaldo yang menolak masuk hantaran lintang Nemanja Matic.

United terus mencipta beberapa peluang terutama menerusi percubaan jarak jauh Diogo Dalot yang terkena palang dan secara kontroversi dinafikan sepakan penalti selepas bola didakwa terkena tangan Cedric Soares di dalam kotak penalti.


Pelawat memperkemaskan permainan sebaik aksi bersambung, sebaliknya makin berputih mata.

Barisan kendalian Ralf Rangnick itu sepatut berpeluang menyamakan kedudukan pada awal separuh masa kedua melalui sepakan penalti tetapi gagal disempurnakan Bruno Fernandes selepas tendangannya menuju ke tiang, manakala gol kedua Ronaldo pula dibatalkan akibat ofsaid sebelum dihukum tendangan deras Granit Xhaka -- dari jarak 30 ela yang mengelirukan De Gea -- untuk mengukuhkan kedudukan The Gunners pada minit-70.