Selepas beberapa tokoh bola sepak tempatan menjadi mangsa kepada artikel 88, mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia, FAM pada Rabu bersetuju mengkaji semula peraturan itu.

FAM akan mengadakan perbincangan kedua dengan ahli exco badan induk itu minggu depan, bagi mendapat persetujuan bersama untuk membawa perkara ini ke Kongres FAM yang ke 49 Ogos depan.

Hanya Kongres FAM yang mempunyai kuasa menggubal atau memperbaharui kandungan artikel 88.

"Kita lihat dari sudut pertama kalau ada sebarang keraguan kalau ada sebarang pentaksiran kena baca dan faham maksud artikel 88 itu. Perincian nanti selepas mesyuarat minggu depan," kata Naib Presiden FAM, Datuk Afendi Hamzah.

Statut Artikel 88 sebelum ini mendapat perhatian ramai pihak, termasuk Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahu ia dikaji semula.

Ia bagi memastikan peraturan ini sesuai dengan keadaan semasa.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi mangsa terbaru artikel 88 apabila digantung selama 6 bulan Mac lalu, selepas mengkritik tahap pengadilan Liga M.