KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki senior lelaki kebangsaan, A. Arul Selvaraj memuktamadkan barisan pasukannya dengan memilih pemain yang menawarkan versatiliti untuk membawa cabaran negara ke kelayakan Sukan Olimpik di Muscat, Oman bermula 13 Jan ini.

Beliau yang menyifatkan kombinasi Speedy Tigers kali ini adalah yang terbaik berkata, rata-rata pemain yang dipilih berkebolehan untuk bermain lebih daripada satu posisi untuk memberi tentangan sengit bagi memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 itu.

"Pemilihan semestinya saya lihat posisi, sejak saya mula-mula datang pada 2020 saya banyak cuba menukar posisi pemain, bertujuan untuk menghasilkan pasukan yang boleh bermain dalam pelbagai posisi.

"Kecederaan boleh berlaku, apatah lagi kali ini kita bermain 18 pemain sahaja, jadi kita sentiasa ada 'backup'. Ini adalah pasukan terbaik yang kita ada sekarang, jadi saya sentiasa pilih pemain terbaik," katanya pada sidang media pengumuman barisan pemain di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Arul Selvaraj berkata, beliau turut memilih pemain yang mempunyai semangat jitu selain mampu menampilkan aksi seimbang ketika beraksi di atas padang, sama ada dari segi mental mahupun fizikal.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak mengumumkan senarai 18 orang pemain yang akan beraksi pada kelayakan Sukan Olimpik di Muscat bermula 13 - 21 Jan ini bagi memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Selain itu, Arul Selvaraj turut menegaskan, kemahuan pemain untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 perlu sehaluan dengan tingkah laku mereka, merangkumi disiplin, pemakanan serta gaya hidup.

"Pada akhirnya, pemain yang melakukan kerja mereka untuk menang. Kemahuan dan tingkah laku perlu sehaluan, semua saya sudah jaga untuk bantu mereka dengan beri jadual makanan dan minuman, dan saya letak semula tanggungjawab kepada pemain," katanya.

Speedy Tigers dijadual berentap dengan Great Britain, Pakistan dan China dalam Kumpulan A, manakala Kumpulan B terdiri daripada Jerman, New Zealand, Kanada serta Chile.

Enam tiket ditawarkan ke Paris 2024 pada Kelayakan Olimpik dengan tiga di Oman (untuk Lelaki) dan tiga lagi di Valencia, Sepanyol (Wanita).

Mengulas mengenai sasaran, Arul Selvaraj berkata, beliau optimis pasukannya mampu menewaskan Pakistan dan China sekali gus menduduki sekurang-kurangnya tangga kedua peringkat kumpulan seterusnya mara ke separuh akhir.

Katanya, Speedy Tigers akan mengadakan dua perlawanan persabahatan menentang Kanada serta Chile sebelum memulakan kempen kelayakan Olimpik Paris nanti.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad hoki wanita, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim pula tidak meletakkan sasaran tinggi pada perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Valencia, sebaliknya menjadikan ia sebagai pentas terbaik menimba pengalaman buat anak buahnya sebelum ke Sukan Asia 2026.

"Secara realistik, kita bertemu pasukan pada ranking lebih tinggi seperti Great Britain, Spain (Sepanyol) dan Kanada, ini perlawanan penuh tekanan yang mana pemain perlu menyesuaikan diri dengan cepat untuk tengok di mana kita berdiri.

"Tapi saya percaya mereka boleh beri persembahan yang baik dan yang mana kita boleh jadi pengacau juga pada pasukan yang lain dan tengok la rezeki dekat mana kita boleh dapat," katanya.

Skuad wanita negara yang diberi julukan Malaysian Tigress telah diundi dalam Kumpulan B untuk bertemu Sepanyol (13 Jan), Kanada (14 Jan) dan Great Britain (16 Jan). - BERNAMA