ASTRO Malaysia Holdings Berhad berjaya melanjutkan hak eksklusif penyiaran bagi bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk tiga musim lagi sehingga musim 2024/25.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Astro serta Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Televisyen, Euan Smith berkata, walaupun tahun lalu merupakan tahun sukan yang amat besar buat Astro, tahun 2022 akan menjadi tahun yang jauh lebih menarik buat syarikat itu.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Liga Perdana Inggeris kerana meletakkan kepercayaan kepada Astro sekali lagi, sekali gus memastikan kerjasama kami dengan mereka yang berjaya selama ini, dapat diteruskan.

“… di bawah perjanjian baharu ini, Astro akan terus memberikan pengalaman tontonan paling premium untuk kesemua 380 perlawanan Liga Perdana dalam definisi tinggi (HD), dan sesetengah perlawanan terpilih dalam definisi 4K UHD,” katanya.

Tambahnya di bawah program Astro Rewards, pelanggan juga boleh menikmati kandungan eksklusif termasuk liputan istimewa dan temu bual di tepi padang, di samping berpeluang dijemput ke majlis tontonan perlawanan eksklusif bersama penganalisis bola sepak dan memenangi pelbagai hadiah menarik.

Sementara itu Ketua Pegawai Media EPL, Paul Molnar berkata, pihaknya amat berbangga kerana Astro masih melihat EPL sebagai penawaran sukan utama mereka.

“Astro akan menjadi ‘rumah’ yang baik sekali lagi untuk Liga Perdana Inggeris untuk tiga musim akan datang.

“Kami amat teruja untuk terus bekerjasama dengan Astro untuk membawa EPL kepada peminat sedia ada dan peminat baharu di seluruh Malaysia,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada kempen ‘More Sports, More Drama, More Thrills’ Astro, pelanggan bakal menikmati liputan acara-acara sukan terbesar tahun ini dalam siaran HD atau 4K UHD.

Ini termasuk Sukan SEA bermula 12 Mei, Sukan Asia pada 10 September, dan Piala Dunia FIFA Di Qatar bermula 21 November ini.