Dua pemain badminton profesional negara, Zulfadli Zulkiffli, dan Tan Chun Seang hari ini digantung daripada menyertai sebarang kejohanan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati bersalah terlibat dalam skandal mengatur perlawanan.

Badan induk dunia sukan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata Zulfadli, 25 tahun digantung 20 tahun dengan denda RM98,000 sementara Chun Seang, 25 tahun, berdepan penggantungan 15 tahun dengan denda RM58,900.

Pada Februari lalu, kedua-dua pemain itu telah menghadiri sesi pendengaran di hadapan panel bebas di Singapura selepas BWF menerima laporan berhubung skandal tersebut.

BACA: Badminton: Zulfadli, Chun Seang hadapi enam pertuduhan atur perlawanan

Panel Pendengaran Etika tiga anggota itu antara lain mendapati Chun Seang telah melakukan 26 kesalahan di bawah Kod Tata Laku 2012 yang melibatkan pertaruhan dan mengatur perlawanan.

Manakala Zulfadli pula didapati melakukan 27 kesalahan di bawah Kod Tata Laku 2012 yang sama, termasuk empat pelanggaran Kod Tata Laku 2016.

Kedua-dua pemain itu juga didapati terlibat dalam kesalahan rasuah dalam beberapa kejohanan penting sejak 2013 dan Zulfadli terbukti telah manipulasi keputusan dalam empat perlawanan.

Panel berpendapat, kedua-duanya bersalah berkaitan “aktiviti rasuah dalam satu tempoh yang lama dan membabitkan banyak kejohanan.” Kesalahan yang didapati dilakukan sejak tahun 2013 lagi.

Setakat ini, Zulfadli dan Chun Seang mempunyai hak untuk merayu di bawah Klausa 14 Prosedur Kehakiman BWF.

Penggantungan tersebut bermula ketika mereka berada di bawah penggantungan sementara iaitu pada 12 Januari lalu.

Zulfadli, bekas juara remaja dunia 2011, dan Chun Seang, pernah beraksi pada kejohanan Piala Thomas 2010.