Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang akan melakukan penampilan kali keempat pada Sukan Olimpik selepas melayakkan diri dalam acara pecut pada edisi 2020 di Tokyo, Julai ini.

Berdasarkan ranking terkini Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) yang dikeluarkan menerusi laman sesawang mereka www.uci.org, kedudukan pelumba berusia 32 tahun itu meningkat lima tempat ke kedudukan kelima terbaik dunia dalam acara pecut individu selepas mengumpul 2,415 mata.

Sebelum ini, The Pocket Rocketman itu layak ke Tokyo dalam acara kegemarannya iaitu keirin selepas menduduki ranking kedua dunia di belakang juara dunia, Harrie Lavreysen dari Belanda apabila mengumpul 2,710 mata.

Skuad negara sah diwakili dua pelumba selepas berjaya menempatkan diri dalam lapan pasukan terbaik dunia dalam ranking Olimpik UCI apabila Malaysia naik lima anak tangga ke kedudukan keempat dengan kutipan 4,667.5 mata dalam acara pecut lelaki.

Skuad trek lelaki negara turut meraih tiket ke Tokyo dalam acara keirin lelaki selepas menduduki tempat ketujuh dengan kutipan 4,503 mata.

Berdasarkan kepada format UCI, lapan negara yang menduduki tangga teratas ranking Olimpik UCI selepas berakhirnya Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2020 di Berlin, Jerman, minggu lalu, akan layak ke Sukan Olimpik 2020.

Satu lagi slot dijangka menjadi perebutan di antara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis memandangkan UCI menetapkan dua slot sahaja bagi setiap negara untuk menghantar pelumba bertanding di Tokyo.

Kejohanan Dunia merupakan medan kelayakan terakhir pelumba untuk mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik.

Mohd Azizulhasni sebelum ini layak ke Sukan Olimpik Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 di mana dia merangkul gangsa acara keirin.

Sehingga kini 10 atlet Malaysia telah melayakkan diri ke Tokyo.

Mereka adalah Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik), Khairulnizam Mohd Khairulnizam Mohd Afendy (laser standard), Nur Shazrin Mohd Latif (laser radial), Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (international 470), dan Khairul Anuar Mohamad (memanah).

Empat lagi merupakan atlet terjun iaitu Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal), Pandelela Rinong Pamg (10m platform) dan berpasangan dengan Leong Mun Yee dalam acara 10m seirama.

-- BERNAMA