SPORTS
Azzam Syafiq: Perjuangan 'skater' bebas ke Kejohanan Dunia, sasar kedudukan tiga teratas

Azzam Syafiq akan bertanding dalam kategori amatur, dan kini berada di kedudukan ke-19 dunia dalam ranking rasmi Persekutuan Skateboard Freestyle Dunia (WFSA). - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bermula dengan minat pada sukan papan selaju sejak tahun 2008, Azzam Syafiq kini mengorak langkah lebih jauh, membawa nama Malaysia ke pentas dunia.
Pemain papan selaju bebas ini akan mewakili Malaysia dalam World Freestyle Skateboarding Championships 2025, yang dijadual berlangsung di Jerman, dari 6 hingga 8 Jun ini.
Azzam, 33 tahun, akan bertanding dalam kategori amatur, dan kini berada di kedudukan ke-19 dunia dalam ranking rasmi Persekutuan Skateboard Freestyle Dunia (WFSA).
Berkongsi kepada Astro AWANI, anak keempat daripada lima beradik ini berkata, acara tahun ini merupakan penyertaan keempatnya, dengan sasaran menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik dunia."Cabaran kali ini untuk kategori amatur, sebelum ini pusingan kelayakan memang ada lebih kurang 30 orang, dan yang akan masuk final lebih kurang 15 hingga 17 orang. Tetapi untuk tahun ini, penapisan pusingan kelayakan dan final lebih sengit..
"... sebab daripada 30 peserta yang masuk kelayakan, cuma 10 sahaja akan mara ke final. Jadi persaingan pada kali ini lebih sukar," katanya ketika ditemui di taman luncur papan selaju Ampang Park, di sini pada Ahad.

Foto/Astro AWANI
Azzam yang sering tampil dengan baju Melayu setiap kali pertandingan berkata, sesi kelayakan akan berlangsung pada 6 Jun, manakala final pada 8 Jun masing-masing melibatkan dua percubaan bagi setiap peserta.
Antara kemahiran istimewa Azzam ialah 'handstand flip', satu teknik yang memerlukan keseimbangan dan ketepatan tinggi.
"Sebenarnya saya rasa setiap pemain papan selaju ada dia punya 'trump card'... ada trick dan kemahiran tersendiri.
"Untuk beberapa tahun lepas, saya memang dalam kategori amatur dan saya rasa macam saya seorang yang buat 'handstand trick' dalam rutin tersebut.
"Itu trick yang saya buat untuk dapat markah tinggi. Tapi pemain lain mungkin ada trick tersendiri untuk kumpul markah," ujarnya lagi.

Foto/Astro AWANI
Azzam memulakan perjalanan dalam dunia papan selaju ketika usia remaja, menjadikan taman-taman luncur papan selaju di ibu kota sebagai gelanggang latihan.
Keazaman dan dedikasi yang tinggi membolehkan anak kelahiran Kuala Lumpur ini mencapai tahap antarabangsa, meskipun berstatus pemain persendirian.
Selain bertanding, Azzam berkata dia turut diberi kepercayaan sebagai salah seorang juri bagi kategori 'masters' dan wanita bagi pusingan kelayakan dan final dalam kejohanan tersebut, bersama barisan juri antarabangsa dari Jepun, Jerman, Poland, serta Belanda.

Foto/Astro AWANI
Bagi sesi penjurian, dia memaklumkan kebiasaan pemain akan dinilai berdasarkan darjah kesukaran trick, keseimbangan, serta keseragaman antara muzik dengan pergerakan.
Selain itu, Azzam memaklumkan penyertaannya dalam kejohanan dunia bukan sahaja satu pencapaian peribadi, tetapi juga simbol harapan bagi komuniti papan selaju di Malaysia.
Dia berharap, lebih banyak sokongan akan diberikan kepada sukan papan selaju di Malaysia terutamanya dari segi pendedahan, latihan serta infrastruktur.

Foto/Astro AWANI
Dalam masa sama, Azzam menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang awam, khususnya rakyat Malaysia yang memberikan sumbangan kewangan untuknya menyertai kejohanan di Jerman.
"Memang ada pegawai daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung. Tetapi perlu saya katakan belum mencapai apa-apa kata putus lagi.
"InsyaAllah kalau ada pun (kata putus), saya sebenarnya tak mahu ia fokus dekat diri saya tetapi saya nak mereka fokus kepada komuniti kami.
"Mungkin ada orang muda dalam kalangan komuniti papan selaju yang ada potensi untuk mewakili negara di Sukan Olimpik nanti," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami