Tonggak utama Kedah, Baddrol Bakhtiar gembira apabila dapat mengotakan janjinya untuk menggegarkan Stadium Darul Aman dengan sorakan penyokong selepas mengatasi Negeri Sembilan 1-0 pada aksi pusingan kedua Piala FA malam tadi.

Kemenangan yang penuh dramatik itu menjadikan stadium berkenaan yang dihadiri lebih 20,000 penyokong setia Lang Merah bergema dengan sorakan dan laungan memandangkan ia kemenangan pertama Kedah di laman sendiri pada musim ini.

Kemenangan itu amat bermakna kerana Kedah terpaksa berhempas-pulas mempertahankan gawang sendiri sambil cuba membolosi gol lawan sehingga memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan apabila kedua-dua pasukan masih gagal menjaringkan gol selepas tamat 90 minit.

"Kami tetap positif, bahawa kami nekad akan menjaringkan gol dan kami hanya perlu kesabaran untuk bawa perlawanan ini ke masa tambahan dan akhirnya berkat kesabaran kami terhasil dengan satu jaringan," katanya kepada pemberita di sini selepas perlawanan itu.

Pemain berusia 30 tahun itu berkata beliau amat berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan rakan sepasukannya malah turut memuji sikap pemain lawan yang bermain dengan penuh displin.

"Kemenangan pada malam ini begitu bermakna dengan kehadiran penyokong dan ia menaikkan lagi semangat kami, bagi saya perlawanan masih panjang dan kami akan melihat ke depan untuk bermain dengan lebih baik lagi," katanya.

--BERNAMA