KUALA LUMPUR: Meskipun telah berada dalam kelompok 30 terbaik dunia, namun pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, enggan berpuas hati dan menyasarkan untuk meningkatkan prestasi sekali gus mencapai kedudukan ranking yang lebih tinggi pada tahun ini.

Bagi pemain di ranking ke-27 dunia itu, Kejohanan Terbuka Malaysia 2023, yang menjadi pembuka tirai kejohanan dalam siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), merupakan platform terbaik untuk mendapat pendedahan bersaing dengan kelompok pemain terbaik dunia.

"Pada Terbuka Malaysia dari 10 hingga 15 Jan nanti, saya akan cuba untuk mara lebih jauh walaupun tiada sasaran khusus yang ditetapkan oleh barisan jurulatih setakat ini," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Beliau yang kali pertama beraksi di kejohanan bertaraf Super 1000 itu, dijadual menentang pemain Ireland, Nhat Nguyen, pada perlawanan pembukaan yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Selain Tze Yong, Terbuka Malaysia itu turut menampilkan seorang lagi wakil bagi acara perseorangan lelaki membabitkan jaguh perseorangan profesional, Lee Zii Jia.

Zii Jia, yang merupakan pilihan kedua kejohanan, akan menentang pemain meningkat naik dari Jepun, Kodai Naraoka, pada perlawanan pembukaan 10 Jan ini.

-- BERNAMA