BAM harap cadangan dipertimbangkan dalam Belanjawan 2026

Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berharap cadangan yang dikemukakan badan induk itu akan mendapat pertimbangan sewajarnya dalam Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat, esok. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berharap cadangan yang dikemukakan badan induk itu akan mendapat pertimbangan sewajarnya dalam Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat, esok.
Ringkasan AI
- Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berharap cadangan BAM diberi pertimbangan dalam Belanjawan 2026 bagi memperkukuh pembangunan sukan, khususnya badminton.
- Beliau menekankan keperluan penglibatan sektor swasta bagi mengukuhkan ekosistem industri sukan dan mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan.
- Tengku Zafrul menjelaskan BAM mengecam kekejaman di Gaza dan menghormati hak setiap pemain untuk menyuarakan pandangan mereka dengan cara tersendiri.
"Kerana kita dapat lihat bahawa contohnya kemenangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei telah membawa satu suntikan semangat nasionalisme, semangat untuk membawa Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi lagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, hari ini.
Mengulas mengenai peruntukan sukan yang sering menjadi perhatian umum, Tengku Zafrul menekankan kepentingan penglibatan sektor swasta dalam mengukuhkan ekosistem industri sukan negara.
"Saya berpendapat di sinilah pentingnya mendapatkan penglibatan sektor swasta kerana industri sukan adalah satu industri yang besar...perlu lihat bagaimana kita boleh hasilkan keuntungan daripada aset yang kita ada.
"Jadi kita tak boleh bergantung pada kerajaan sahaja...dan bercakap sebagai anggota Kabinet, kita perlu mengutamakan apa yang kita ada dari segi sumber, dari segi hasil," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut 'menenangkan' kegusaran orang ramai yang mempersoalkan pendirian atlet badminton negara berhubung konflik di Gaza dengan menjelaskan bahawa BAM mengecam sekeras-kerasnya kekejaman yang berlaku di sana.
Beliau berkata BAM memahami sensitiviti dan emosi masyarakat terhadap isu tersebut namun menegaskan setiap pemain berhak menzahirkan pandangan mereka dengan cara tersendiri.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami