Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain perseorangan wanita negara, Lydia Cheah telah bertindak keluar meninggalkan badan induk itu dan meletak jawatan sebagai pemain kebangsaan.

Pengurus Besar BAM, Kenny Goh berkata pemain wanita nombor tiga negara itu, menyerahkan surat peletakan jawatannya dalam skuad kebangsaan pada Isnin lepas (15 Julai) tanpa memberi alasan.

"Orang (pemain) nak letak jawatan, kita (BAM) tidak boleh buat apa, terpulang kepada mereka dan saya pun tidak mempunyai sebarang komen mengenai hal ini.

"Tetapi, kita akan kemukakan kepada anggota gabungan mengenai peletakan jawatan Lydia pada mesyuarat majlis BAM pada 27 Julai ini dan tengoklah apa kata mereka nanti," katanya ketika dihubungi Bernama, Khamis.

Lydia yang juga kakak kepada pemain badminton meningkat naik negara, Sonia Cheah, pernah memenangi beberapa gelaran, antaranya pingat perak pada Kejohanan Badminton Kebangsaan Malaysia edisi 2006/2007 dan juara di kejohanan sama pada edisi 2011/2012.

Dalam tempoh tidak sampai seminggu, arena badminton negara berdepan detik sukar melibatkan kedua-dua beradik Cheah itu.

Selain peletakan jawatan Lydia, Sonia terpaksa menarik diri daripada menyertai Kejohanan Dunia di Guangzhou, China dari 5 hingga 11 Ogos ini, berikutan kecederaan tendon Achilles betis kanan yang dialaminya pada Selasa lepas.