BARCELONA enggan berasa selesa dengan kelebihan lapan mata mengatasi pencabar terdekat, Real Madrid dalam pemburuan kejuaraan La Liga sejak kali terakhir memenanginya pada 2019.

Skuad bimbingan Xavi Hernandez itu meraih tiga mata berharga selepas mengatasi Sevilla 3-0, pada awal pagi Isnin.

The Catalan memanfaatkan kekalahan Real Madrid yang tewas 1-0 kepada Real Mallorca pada Ahad.

Xavi bagaimanapun enggan 'cair' dengan kejayaan itu, sebaliknya menggesa anak buahnya untuk memastikan jurang itu kekal.

"Real Madrid masih pasukan pilihan kerana mereka adalah juara bertahan La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah.

"Saya tahu mereka akan terus bersaing hingga ke akhir. Ada sejarah kebangkitan, kita tidak boleh biarkan ia berlaku," ujar Xavi.

Pada aksi itu, Jordi Alba memecah kebuntuan gol pada separuh masa kedua, dengan Gavi dan Raphina turut mencatat nama selaku penjaring.

Kemenangan itu adalah yang ke-10 daripada 11 perlawanan liga, manakala Barca juga belum tewas dalam 15 aksi di semua pertandingan.

Barca hanya melepaskan tujuh gol dalam kempen La Liga musim ini dan perlawanan ke-15 tanpa dibolosi. - Sinar Harian