PENGENDALI Barcelona, Xavi menolak dakwaan bahawa kelab itu sedang memburu khidmat bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe atau pemain Manchester City, Erling Haaland.

Mbappe, 25 dan Haaland, 23 adalah dua penyerang paling diidamkan di Eropah setelah menampilkan aksi cemerlang dan konsisten sejak beberapa musim yang lalu.

Terdapat banyak spekulasi mengenai masa depan Mbappe kerana kontraknya akan tamat pada penghujung musim ini.

Laporan mendakwa bahawa Barcelona telah menyatakan minat terhadap Mbappe dan sedang memantau keadaannya di Parc des Princes.

Bintang Perancis itu juga berada dalam radar Real Madrid kerana dia boleh direkrut secara percuma pada musim panas.

Sementara itu, laporan pada bulan September mendakwa bahawa Blaugrana juga telah menyertai Madrid untuk mengejar Haaland.

Pemain Norway itu mempunyai baki tiga tahun kontrak di City tetapi prestasi cemerlangnya telah menarik minat daripada gergasi La Liga itu.

"Haaland atau Mbappe? Kami tidak boleh memikirkan Haaland atau Mbappe untuk menyertai Barca sekarang. Kami tidak mampu membeli pemain-pemain ini," katanya.

Mbappe berada dalam prestasi terbaik musim ini, menjaringkan 21 gol dan dua bantuan gol dalam semua kejohanan.

Dia berada di tempat ketiga di podium Ballon d'Or pada Oktober selepas tahun yang cemerlang menyaksikan dia turut memenangi Kasut Emas pada Piala Dunia FIFA 2022.

Sementara itu, Erling Haaland meneruskan prestasi cemerlangnya yang dikecapi sejak tiba di Etihad pada Julai 2022.

Dia menjaringkan 19 gol dan lima bantuan gol dalam 22 perlawanan musim ini, selepas menamatkan saingan sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana dan Liga Juara-Juara UEFA musim lalu.

Dalam pada itu, Xavi mengakui gembira dengan skuad yang sudah dimilikinya ketika ini.

"Saya gembira dengan pemain yang saya ada. Kami perlu mencapai tahap terbaik kami kerana di kelab ini kami perlu sentiasa berada pada prestasi tertinggi," katanya. - Sinar Harian