SUKAN
Bergson samai rekod Indra Putra, JDT tumpaskan Negeri Sembilan 5-3

Pemain JDT Arif Aiman Mohd Hanapi (kiri) meraikan jaringan selepas berjaya membolosi gawang pasukan Negeri Sembilan FC pada saingan Liga Super Malaysia 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva, menyamai rekod legenda bola sepak negara, Indra Putra Mahayuddin, selaku penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman dengan 106 gol selepas meledak pada masa tambahan untuk membantu skuad Harimau Selatan menewaskan Negeri Sembilan FC 5-3 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini.
Skuad pelawat memulakan aksi dengan garang apabila mengejutkan juara bertahan seawal minit kelapan menerusi Joseph Esso yang bijak menyempurnakan hantaran Ameyaw Alexander Agyakwa.
Empat minit kemudian, Agyakwa sekali lagi menjadi pengumpan, kali ini menerusi sepakan percuma yang disambar Jovan Motika untuk meletakkan Negeri Sembilan di depan 2-0.
Tersentak dengan dua gol awal, JDT membuat pertukaran taktikal dengan memasukkan Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-29 dan langkah itu nyata membuahkan hasil apabila sepakan sudutnya pada minit ke-38 ditanduk masuk oleh Jon Irazabal.Tiga minit berselang, Joao Figueiredo menyamakan kedudukan 2-2 dengan sepakan leret, sekali gus menghidupkan semula semangat juara bertahan menjelang rehat.
Bersambung babak kedua, JDT terus mengasak dan mendahului pada minit ke-57 menerusi jaringan kedua Irazabal selepas menerima hantaran Hector Hevel.
Belum sempat pelawat mengatur semula langkah, Arif Aiman melepaskan rembatan kencang seminit kemudian untuk melebarkan kedudukan 4-2.
Negeri Sembilan kembali merapatkan jurang pada minit ke-60 apabila Motika sekali lagi meledak gol, namun Bergson memastikan tiga mata penuh milik tuan rumah selepas melakukan sepakan gunting pada masa tambahan.
- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami