KUALA LUMPUR: Atlet pecut wanita negara perlu diberi peluang 'berguru' di luar negara untuk mendapat lebih banyak pendedahan di peringkat antarabangsa sekali gus memastikan Malaysia tidak ketandusan 'permata' dalam sukan berkenaan.

Bekas pelari pecut negara Datuk Mumtaz Jaafar berkata ia berdasarkan prestasi barisan atlet pecut wanita negara yang semakin menyerlah menerusi beberapa siri kejohanan sebelum ini.

"Kita perlu hantar atlet pecut wanita negara ke luar negara untuk mendapatkan pendedahan yang lebih mendalam mengenai sukan ini. Lagipun perkembangan atlet pecut wanita sangat positif sebab semua negeri mengambil perhatian untuk membangunkan ahli sukan.

"Jadi saya rasa untuk memastikan kita tidak ketandusan atlet, langkah melahirkan lebih ramai atlet perlu terus dibangunkan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran acara 'Let's Move' di Taman Rimba Kiara di sini pada Sabtu.

Acara berkenaan merupakan hasil kolaborasi antara Majlis Olimpik Malaysia dan penduduk Taman Tun Dr Ismail yang menganjurkan aktiviti sukan bersama kanak-kanak berumur 5 hingga 15 tahun.

Dalam pada itu, Mumtaz turut melahirkan kekaguman terhadap pemenang empat pingat gangsa di Sukan SEA Zaidatul Husniah Zulkifli yang masih bersemangat menabur bakti kepada negara dan mencipta beberapa pencapaian cemerlang hingga kini.

Beliau berkata Zaidatul, 29, yang dikategorikan sebagai atlet senior masih berbisa apabila mampu memberi saingan kepada atlet muda di pentas berprestij walaupun telah mendirikan rumah tangga.

"Bagi saya, Zaidatul istimewa sebab lepas kahwin masih lagi teruskan berlari dan semua atlet wanita mempunyai kekuatan masing-masing," katanya.

Dua hari lepas, Zaidatul mencipta rekod peribadi 11.56 saat (s) pada aksi saringan 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Asia 2023 di Bangkok, Thailand sekali gus memadam rekod lamanya 11.59s dilakukan di Weinheim, Jerman pada 2018.

Namun, langkahnya terhenti pada separuh akhir kedua apabila hanya menduduki tempat kelima dengan catatan 11.67s.

-- BERNAMA