IMBUHAN atau elaun yang bakal menanti skuad bola sepak negara yang sedang beraksi dalam Piala Asia 2023 di Qatar masih menjadi teka-teki tidak hanya dalam kalangan pemain tetapi juga persoalan kepada penyokong Harimau Malaya.

Malah, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai badan induk yang memayungi industri sukan paling popular negara itu masih belum memberi sebarang bayangan berkenaan imbuhan yang berupaya menjadi dos penggalak kepada pemain-pemain negara di Qatar 2023.

Bagaimanapun, penganalisis sukan tempatan, Datuk Pekan Ramli percaya habuan tetap menanti skuad kendalian Kim Pan-gon yang telah kembali meletakkan keyakinan penyokong-penyokong terhadap sukan itu setelah mara ke temasya berkenaan secara merit selepas 43 tahun.

“Saya percaya semua pasukan yang layak ke final Piala Asia ini mendapat elaun penampilan khas secara lump sum atau elaun mengikut perlawanan daripada persatuan bola sepak negara masing-masing.

“Tambahan pula setiap pasukan yang layak ke pusingan akhir ini dikatakan akan menerima hampir sejuta ringgit, tidak termasuk jika mara ke pusingan kalah mati.

“Elaun atau imbuhan ini saya percaya tetap ada bagi setiap pemain dan mungkin lebih tinggi berbanding tugasan biasa Harimau Malaya sebelum ini,” katanya kepada Sukan Sinar.

Namun tambah Pekan, kini semuanya terpulang kepada budi bicara badan induk bola sepak negara tersebut bagi merealisasikan untuk tujuan berkenaan.

“Cuma segalanya terpulang pada FAM. Di Piala Dunia 2018 sepengetahuan saya elaun pemain England dibayar sama rata mengikut perlawanan berjumlah 2,000 pound (lebih kurang RM10,000/perlawanan).

"Tetapi jika muncul juara setiap pemain dijanjikan 217,000 pound (kira-kira RM1.2 juta jika England muncul juara).

“Bayaran elaun atau imbuhan kepada pemain ini juga bergantung kepada kemampuan sesebuah persatuan bola sepak negara itu. Ada juga persatuan yang lokek dan kedekut atau kurang kemampuan.

“Umpamanya pemain Perancis pada waktu itu juga diberikan elaun atau imbuhan secara pukal sebanyak 17, 000 pound (hampir RM100, 000) untuk satu kejohanan. Ini tidak termasuk hadiah kemenangan,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Pekan, terdapat juga dalam kalangan pemain bertaraf bintang dunia yang tidak mengambil kisah berkenaan imbuhan disediakan persatuan bola sepak masing-masing.

“Apa pun elaun atau imbuhan bagi pemain bertaraf bintang bola sepak dunia itu jauh lebih kecil daripada gaji yang mereka terima seminggu atau sebulan, itu sebab mereka tak kisah sangat.

“Saya percaya tiada sebarang persoalan tentang jumlah elaun atau imbuhan ini dan ia tidak membelenggu pemikiran pemain kita. Semangat juang mereka di Qatar menjelang pertemuan menentang Jordan, Bahrain dan Korea Selatan nanti mengatasi segala-galanya.

“Berjuang bermati-matian dulu, terjemahkan kejayaan, saya percaya imbuhan akan datang mencurah-curah nanti. Itu memang sikap pemurah orang Malaysia, apabila menang ramai orang senang,” katanya. - Sinar Harian