Bintang lagenda Hall of Fame WWE, Bret 'The Hitman' Hart berdepan satu lagi cabaran getir dalam hidupnya apabila disahkan menghidap serangan barah prostat.

Bintang kelahiran Kanada yang kini berusia 58 tahun ini mengumumkan berita kurang enak ini melalui catatan di laman Facebooknya semalam:

It is with great remorse that I feel compelled to speak truthfully to my friends, family and my millions of fans around...

Posted by Bret Hart on

"Saya akan berasa kesal sekiranya tidak bercakap jujur terhadap rakan-rakan, sanak saudara dan jutaan peminat saya di seluruh dunia. Saya telah membayar harga yang cukup mahal selama beberapa tahun dalam usaha untuk menjadi yang terbaik sebagai seorang penggusti professional. Saya berjaya melakukannya dengan baik, dan secara peribadi saya berasa amat berbangga tidak pernah memberikan sebarang kecederaan serius terhadap penggusti lain sepanjang 23 tahun saya berkecimpung dalam industri ini.

"Saya telah menerima bahanaya dalam sukan yang digelar 'palsu' ini. Selain daripada terlibat dengan gegaran otak yang menamatkan kerjaya saya dan beberapa pembedahan ketika zaman muda saya, saya juga turut menjalani pembedahan dalam beberapa tahun kebelakangan ini bagi menggantikan tempurung lutut, dua pembedahan hernia, pembedahan di bahagian siku kanan. Dan baru sahaja beberapa bulan lepas, saya menjalani satu lagi pembedahan di sendi pergelangan tangan kanan, yang membuatkan saya kini sukar untuk menulis atau menaip.

"Penulis Mark Heprin pernah mengungkapkan, 'Kita semua telah ditakdirkan dengan sempurna untuk menempuhi hidup ini, biarpun sebelum kelahiran, jantung ini akan terus berdegup bagi mendepani segala cabaran hidup.' Saya telah melalui pelbagai cabaran getir, dan berjaya meneruskan hidup dalam di pelbagai medan pertempuran. Dan kini saya berdepan dengan ujian paling hebat. Dengan rasa resah dan ketakutan, saya secara terbuka menyatakan yang kini saya sedang berjuang dengan barah prostat. Dalam masa beberapa hari lagi, saya akan menjalani pembedahan dengan harapan ianya mampu menewaskan penyakit ini.

"Peminat sering memandang saya sebagai seorang wira dan saya sentiasa melakukan yang terbaik untuk menggalas tanggungjawab tersebut di dalam dan luar gelanggang. Saya berjaya menidakkan ramalan buruk apabila menderita akibat serangan strok pada tahun 2002. Dan kini sekali lagi, saya berpeluang untuk bersemuka dengan ramai orang dewasa dan kanak-kanak yang berani berdepan dan tewas kepada penyakit yang membawa maut ini.

"Setahun lalu, saya menyaksikan seorang anak muda bernama Whesley bertungkus lumus berjuang menentang barah otak hingga ke penghujung hayatnya. Jika saya mampu untuk memiliki walau sekelumit semangat waja anak muda ini yang tidak pernah gentar dan sanggup bersemuka dengan cabaran getir ini, saya juga akan tanpa berpaling akan terus mara ke hadapan, dan rela mendepani sebarang takdir yang telah tertulis buat saya.

"Saya berikrar dengan sepenuh jiwa kepada semua yang pernah mempercayai saya, tidak kira sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia, yang saya akan bangkit menentang ketakutan saya menentang barah ini dengan segala perisai dan senjata yang ada dalam diri ini, berbekalkan kasih sayang yang sentiasa mengiringi kehidupan saya. Kasih sayang adalah senjata saya dan saya memperolehnya daripada orang-orang yang sentiasa berada di samping saya. Sesuatu yang saya rasa amat bertuah dan bersyukur, anak-anak, cucu, dan isteri saya Steph yang sentiasa ada ketika saya memerlukan mereka. Saya enggan mengalah, tidak akan mudah menyerah, berjaya merawat penyakit ini, atau mati dengan semangat juang yang tinggi.

"Yang paling penting, saya harap saya dapat melawan barah prostat ini. Menjadi pembimbing kepada kempen kesedaran dan menjadi contoh tauladan kepada semua lelaki yang turut menderita seperti saya, sekaligus membuktikan yang barah maut ini boleh dipulihkan."

Untuk rekod, penggusti yang mendapat jolokan 'The Excellence Of Execution' dan pernah menggondol kejuaraan dunia sebanyak tujuh kali ini pernah menderita lumpuh selama beberapa tahun akibat terlibat dalam satu kemalangan ketika sedang berbasikal. Beliau hampir kehilangan semangat untuk meneruskan hidup sebelum dibantu secara moral dan material oleh pemilik WWE, Vince McMahon.

Ditambah pula dengan sejarah mendiang adiknya, Owen Hart yang meninggal dunia akibat kemalangan ketika beraksi di gelanggang WWE pada tahun 1999. Namun segala cabaran ini berjaya beliau depani dan terus bersemangat untuk meneruskan legasinya.

Semoga Bret Hart tabah dan sembuh seperti sediakala.

Saksikan rancangan WWE Raw setiap Selasa jam 10 malam di Astro Supersport 3 saluran 816/834 (HD) dan tonton rancangan-rancangan terbaik WWE 24 jam sehari di WWE Network saluran 820/840 (HD).

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia di Facebook yang kini telah menghimpunkan lebih 14,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.